Semakan semula Akta Orang Asli 1954 giat dilaksanakan

Ahmad Zahid ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, pada Isnin. - Foto Bernama
Ahmad Zahid ketika sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang giat melaksanakan semakan semula Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) yang antara lain melibatkan pendaftaran perkahwinan dan pemilikan tanah bagi masyarakat Orang Asli.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai permulaan, satu kajian pembangunan kerangka perundangan dan mekanisme bagi pentadbiran perkahwinan serta perceraian adat Orang Asli di Semenanjung Malaysia telah bermula pada 15 September lepas.

"Isu tanah Orang Asli turut diambil kira dalam semakan Akta 134 yang perlu diperhalusi secara menyeluruh dan terperinci kerana ia melibatkan perbezaan serta pertindihan bidang kuasa melibatkan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat pada Isnin.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, strategi bagi memajukan masyarakat Orang Asli telah digariskan dalam Pelan Strategik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang memberi fokus kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat Orang Asli.