JDT ikat pemain Orang Asli Kelantan berusia 12 tahun

Baharom (kiri) bersama Griffa (dua dari kiri) menunjukkan kemeja-T JDT. - Foto Facebook The Red Warriors City Club.
Baharom (kiri) bersama Griffa (dua dari kiri) menunjukkan kemeja-T JDT. - Foto Facebook The Red Warriors City Club.
A
A
A

TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.

Demikian pepatah sesuai menggambarkan rezeki buat seorang pelajar Orang Asli berusia 12 tahun, Sa’ap Baharom yang ditawarkan untuk menyertai pusat latihan elit bola sepak, Akademi Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bakat pelajar Sekolah Kebangsaan Pasir Linggi, Gua Musang, Kelantan itu telah menarik minat Ketua Pencari Bakat dan Pembangunan Belia JDT, Diego Griffa.

Manakan tidak dia meraih gelaran kasut emas selepas meledak 12 gol dalam enam perlawanan ketika Kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) di Johor baru-baru ini.

Lebih manis Griffa turun sendiri melamar Sa'ap di kampung halamannya, Felda Aring, Gua Musang untuk mengikatnya secara rasmi.

Tular di laman sosial, Griffa berkunjung ke rumah Sa'ap untuk menandatangani dokumen dan menyerahkan kemeja-T JDT.

Griffa (kiri) bersama Sa'ap di Felda Aring, Gua Musang baru-baru ini. - Foto Facebook The Red Warriors City Club.
Griffa (kiri) bersama Sa'ap di Felda Aring, Gua Musang baru-baru ini. - Foto Facebook The Red Warriors City Club.

Pencarian bakat akar umbi itu bukan perkara baru buat JDT sebaliknya perkara sama dilakukan ketika memikat Muhammad Aqil Mohd Shamsul Aswadi dari Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Ia selepas tular video pelajar berusia 13 tahun itu yang tenang mengawal bola biarpun beraksi menentang pemain dewasa.

Sebagai rekod Akademi JDT merupakan akademi bola sepak pertama di Malaysia yang dianugerahkan Ahli Emas Piagam SupaRimau yang diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Anugerah itu bagi mengiktiraf kelab atau akademi yang berusaha gigih memperkasa program akar umbi bola sepak.

Akademi JDT juga adalah satu-satunya kelab bola sepak profesional sepenuh masa yang menawarkan latihan, pendidikan dan penginapan sekali gus membuktikan skuad Harimau Selatan antara pasukan terbaik dalam negara yang mencungkil bakat pemain muda.