40 pelajar Orang Asli di Pahang raih keputusan cemerlang SPM

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seramai 40 daripada 729 pelajar Orang Asli di negeri ini yang mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu mencapai keputusan cemerlang ketika diumumkan pada Khamis lalu.

Daripada senarai pelajar cemerlang itu, seorang pelajar memperoleh keputusan 10A, dua pelajar mendapat 9A, 8A (tiga pelajar), 7A (tujuh pelajar), 6A (11 pelajar) dan 5A (16 pelajar).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, pencapaian itu sekaligus menjadikan pelajar Orang Asli Pahang sebagai pelajar terbaik seluruh negara bagi kategori kaum tersebut.

Menurutnya, berdasarkan pencapaian pelajar Orang Asli mengikut daerah, Rompin merekodkan pelajar cemerlang tertinggi dengan 15 pelajar diikuti Pekan (11 pelajar), Lipis (3 pelajar), Bera (3 pelajar), Temerloh (2 pelajar), Bentong (2 pelajar), Kuantan, Cameron Highlands, Maran dan Raub masing-masing seorang pelajar.

"Pelajar Orang Asli dari Bentong, Nurul Atiqah Idrus,18, dinobatkan pelajar terbaik kategori itu apabila muncul satu-satunya pelajar Orang Asli di negeri ini memperoleh keputusan 10A.

"Bagi calon SPM dari sekolah menengah agama terdapat dua pelajar Orang Asli dari Sekolah Menengah Agama (SMA) Rompin dan SMA Maran memperoleh sekurang-kurangnya 1A dalam peperiksaan itu," katanya.

Syed Ibrahim berkata, secara keseluruhannya, daripada 729 pelajar Orang Asli calon SPM tahun lalu, 547 calon layak mendapat sijil dan 182 calon tidak layak.

"Sesuai dengan ketetapan dan pendekatan kerajaan negeri di bawah Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, kejayaan pelajar-pelajar itu diiktiraf bukan saja melalui pemberian saguhati malah akan membantu mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.

"Melalui bantuan dihulurkan, akan memberi peluang kepada mereka melanjutkan pelajaran ke arah masa depan lebih cerah," ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil berat soal pendidikan pelajar kaum itu dengan pelbagai pendekatan dilaksanakan melalui kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Yayasan Pahang dan Penubuhan Orang Asli Corporation (Oraco).

"Tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dan tidak lupa kepada guru dan pihak sekolah yang bertungkus-lumus mendidik generasi baharu serta penghargaan juga kepada seluruh agensi negeri dan daerah yang terlibat membantu," ujarnya.