Anwar jemput Presiden Xi Jinping, Premier Li Qiang ke Malaysia tahun depan

Anwar (kiri) bersama Li Qiang bersalaman pada Mesyuarat Dua Hala di Rumah Tamu Liyuan. - Foto Bernama
Anwar (kiri) bersama Li Qiang bersalaman pada Mesyuarat Dua Hala di Rumah Tamu Liyuan. - Foto Bernama
A
A
A

NANNING - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menjemput Presiden China, Xi Jinping dan Premier Li Qiang, untuk mengadakan lawatan negara dan lawatan rasmi tahun depan ke Malaysia, sempena sambutan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun 2024.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, sempena sambutan ulang tahun hubungan diplomatik kedua-dua negara berkenaan pada tahun depan, pelbagai aktiviti sedang dirancang bersama untuk dilaksanakan di Malaysia dan China.

Perdana Menteri berkata, tahun ini pula, merupakan ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China dan untuk tahun 2023, 12 pertukaran lawatan tertinggi dari Malaysia ke China dan enam pertukaran lawatan tertinggi dari China ke Malaysia, telah diadakan setakat ini.

"Saya telah mengadakan lawatan ke China buat kali kedua pada tahun ini,” kata Anwar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, sempena lawatan kerja beliau di sini untuk menghadiri China-ASEAN Expo (Caexpo) ke-20.

Anwar melawat China buat pertama kali pada Mac tahun ini, di mana beliau mengadakan lawatan kerja di Beijing dan Hainan, selepas dilantik sebagai Perdana Menteri pada November tahun lepas.

Perdana Menteri menyifatkan hubungan Malaysia dengan China istimewa dan bersejarah, kerana ia berdasarkan prinsip saling hormat menghormati dan kesaksamaan.

Mengulas perbincangan beliau dengan Li Qiang sempena lawatannya kali ini ke China, Anwar berkata, ia menyentuh pelbagai isu dua hala, serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama.

Anwar berkata, kedua-dua pihak menyambut baik perkembangan kerjasama di bawah projek Belt and Road Initiative (BRI) seperti Two Countries, Twin Parks, iaitu Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) dan cadangan penaiktarafan projek; East Coast Rail Link (ECRL) dan AHTV (Automative High Tech Valley), yang melibatkan penerokaan kerjasama susulan antara DRB Hicom dan Geely, khususnya dalam bidang kenderaan elektronik dan bidang berteknologi tinggi.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kedua-dua negara juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dan kerjasama dalam bidang penyelidikan antara universiti di Malaysia dan China.

"Malaysia dan China juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang komoditi dan industri berasaskan pertanian seperti minyak sawit, getah, biodiesel, durian, keterjaminan makanan dan akses kemasukan produk pertanian Malaysia ke pasaran China," katanya.

Anwar berkata, kedua-dua negara juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang sains dan teknologi pembangunan vaksin, penyelidikan dan pembangunan serta pusat pembuatan, selain mengalu-alukan kerjasama lebih banyak dalam kalangan syarikat berteknologi tinggi dan pendigitalan ekonomi.

Dalam aspek connectivity, Anwar berkata, kedua-kedua negara juga bersetuju meningkatkan kerjasama dalam bidang pelancongan serta meningkatkan kadar frekuensi penerbangan di antara Malaysia dan China. - Bernama