AMK minta polis siasat video tular hina Perdana Menteri

Muhammad Izuan (depan, tengah) bersama ahli AMK menunjukkan laporan polis dan video tular di media sosial menghina Perdana Menteri di hadapan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Selasa.
Muhammad Izuan (depan, tengah) bersama ahli AMK menunjukkan laporan polis dan video tular di media sosial menghina Perdana Menteri di hadapan IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) membuat laporan polis berhubung satu video tular di media sosial menghina Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketua AMK Selangor, Muhammad Izuan Ahmad Kasim berkata, video berdurasi kurang satu minit itu memaparkan seorang wanita mengaku telah menghina Perdana Menteri dan tanpa segan silu menyatakan sesiapa yang tidak berpuas hati boleh menghubungi dirinya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Damansara berkata, wanita tersebut turut meletakkan poster menyatakan Perdana Menteri sudah 'meninggal dunia' berserta ucapan takziah.

Tegas Muhammad Izuan, perbuatan itu biadab dan melampau.

"Meskipun posting video itu telah diturunkan pada malam Isnin sekitar jam 9, namun AMK tidak mahu perkara seumpama ini berlanjutan.

"Kita tidak mahu ada lagi pihak-pihak tidak bertanggungjawab melakukannya selepas ini kerana merasakan ia tidak memberi kesan apa-apa.

"Oleh sebab itu, saya mewakili AMK pusat, wilayah serta Selangor meminta pihak polis menyiasat perkara ini," katanya dalam sidang akhbar pada Selasa selepas membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, dekat sini.

Katanya, perbuatan melampau dan ketaksuban kepada sesuatu parti harus dihentikan.

Artikel Berkaitan:

"Perbuatan melampau menghina pemimpin negara sehingga menyatakan seseorang itu telah meninggal dunia merupakan perbuatan yang sangat tidak bertanggungjawab.

"Jangan hanya kerana satu video seumpama itu disebar dan tidak diambil tindakan, ia mengundang pelbagai pihak lain melakukan perkara sama pada masa hadapan," ujar beliau.

Tambah beliau lagi, video seumpama itu tidak seharusnya disebar kerana ia akan mengundang impak negatif kepada masyarakat.

"Meskipun video yang tersebar ini tidak mempunyai durasi yang panjang, namun ia boleh memberi impak besar kepada masyarakat dan negara.

"Apabila ada satu orang yang melakukannya, ia akan merebak untuk orang lain melakukan perkara sama.

"Justeru, perkara ini perlu dipandang serius dan tindakan tegas perlu dikenakan ke atas pihak melakukannya," katanya.

Habis...