Hadis 40: Toleransi rakyat tinggi, tak cetus ekstremisme

Tangkap layar program Di Sebalik Isu bertajuk Mengapa Wujud Polemik Modul Hadis 40 Imam Nawawi? yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Tangkap layar program Di Sebalik Isu bertajuk Mengapa Wujud Polemik Modul Hadis 40 Imam Nawawi? yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kebimbangan risiko berlakunya keganasan dan ekstremisme berpunca daripada pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) disifatkan sebagai pemikiran yang lemah.

Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Profesor Dr Muhamad Rozaimi Ramle berkata, kegusaran itu tidak sepatutnya menjadi isu berbangkit kerana setiap agama di negara ini turut mendapat hak masing-masing dan mampu hidup dalam keadaan yang harmoni.

Bahkan menurutnya, keadaan itu membuktikan sifat toleransi tinggi serta budaya saling hormat-menghormati yang utuh dalam masyarakat.

“Ekstremisme tidak kenal agama kerana kalau kita ambil contoh Islamic State (IS) yang dikenali sebagai pengganas beragama Islam, tetapi mereka tidak mewakili umat Islam.

“Di Indonesia pula walaupun mempunyai bilangan umat Islam yang ramai, ada juga penganut agama Kristian dan Hindu tetapi hidup dalam keadaan sangat harmoni, tidak ada yang dibunuh semata-mata kerana agamanya.

“Kalau kita lihat pula sistem di Malaysia, rakyat bukan Islam, Cina dan India diberi hak sama rata dengan orang Islam bahkan mempunyai sekolah aliran mereka sendiri, menunjukkan kita semua sangat bertoleransi kepada yang bukan Islam,” katanya ketika menjadi panelis program Di Sebalik Isu bertajuk Mengapa Wujud Polemik Modul Hadis 40 Imam Nawawi? yang disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian susulan KPM berulang kali menegaskan, modul itu bertujuan memperbetulkan pemahaman anak muda beragama Islam agar tidak terjebak dengan gejala ekstremisme dan memupuk amalan kesederhanaan, sekali gus membasmi fahaman melampau yang berleluasa dalam negara.

Rozaimi menganggap golongan yang menentang pelaksanaan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi berkemungkinan tidak mengetahui atau memahami pendekatan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sedangkan ujarnya, sekiranya kandungan modul tersebut diteliti, masyarakat pasti menyokong perlaksanaannya yang mampu menjadi bimbingan buat umat Islam untuk menjadi insan terbaik.

“Ini kerana 42 hadis yang terkandung di dalam modul tidak menjadi masalah buat bukan beragama Islam kerana ia hanya menyentuh mengenai akidah umat Islam.

“Sebagai contoh, hadis kedua menceritakan iman, Islam dan ihsan yang mana di awal hadis adalah tentang menjadi Muslim berkualiti.

“Tetapi masalah kita adalah apabila kita tidak melihat isi kandungan hadis 40 Imam Nawawi dan cuba untuk bantah sebelum faham, sehingga menjadi barah yang akan merosakkan keharmonian negara,” katanya.