Buat aduan buli secara terus di reruai KPM

Wan Mohd Mohyeddin (kiri) menunjukkan platform DELIMa di reruai KPM yang disediakan di Karnival Pendidikan Sinar Bestari.
Wan Mohd Mohyeddin (kiri) menunjukkan platform DELIMa di reruai KPM yang disediakan di Karnival Pendidikan Sinar Bestari.
A
A
A

SHAH ALAM - Ibu bapa, penjaga dan pelajar boleh membuat aduan buli secara terus menerusi Portal Aduan Buli di reruai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Karnival Pendidikan Sinar Bestari di sini sepanjang tiga hari bermula Jumaat.

Pegawai Unit Komunikasi Korporat KPM, Azlina Abdu Rahman berkata, petugas di reruai akan menunjukkan cara untuk membuat aduan berkenaan kepada pengadu.

“Di sini orang ramai dan pelajar boleh memasukkan terus aduan buli menerusi sistem Portal Aduan Buli,” katanya ketika ditemui sempena karnival pendidikan berkenaan di Dataran Karangkraf di sini pada Jumaat.

Menurut Azlina, setiap aduan akan disaring dalam tempoh 24 jam sebelum pengadu menerima maklum balas pada hari ketiga.

“Kementerian akan memanggil majlis permuafakatan sekolah berserta ibu bapa dan murid tersebut untuk menyelesaikan aduan buli itu secara dalaman,” jelas beliau.

Beliau berkata, sekiranya aduan melibatkan kes buli yang serius ia akan diserahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Sementara itu, Penolong Pengarah Sektor Sektor Pelantar Pembelajaran Bahagian sumber dan Teknologi Pendidikan KPM, Wan Mohd Mohyeddin Wan Yacob berkata, pihaknya turut memberi pendedahan mengenai platform Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) di reruai KPM.

Menurutnya, DELIMa boleh diakses setiap murid sehingga pelajar matrikulasi dengan menggunakan id yang dibekalkan oleh KPM.

Artikel Berkaitan:

DELIMa merangkumi tiga aspek utama iaitu pembelajaran yang diperibadikan, pengalaman pengguna dan analisis data.

Pelbagai aplikasi disediakan, antaranya teknologi kecerdasan buatan (AI), Eduweb TV, permainan dalam talian secara percuma yang turut menyumbang markah kepada Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK).

“Ramai yang tidak tahu mengenai tawaran menarik dalam DELIMa ini dan di reruai ini kami akan mendedahkan kepada murid serta guru mengenainya,” ujar beliau.

DELIMa merupakan pelantar pembelajaran digital KPM yang dibangunkan untuk mengupayakan sesi PdP dalam talian.

Fadhlina (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (dua dari kiri) dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli (dua dari kanan) ketika merasmikan Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Jumaat. - FOTO: ROSLI TALIB
Fadhlina (tengah) bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grup Sinar Karangkraf, Farah Hussamuddin (dua dari kiri) dan Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli (dua dari kanan) ketika merasmikan Karnival Pendidikan Sinar Bestari pada Jumaat. - FOTO: ROSLI TALIB

Diperkenalkan pada 1 Julai 2019 menerusi Bilik Darjah Google, kini diterima baik murid serta guru.

Sementara itu, reruai KPM akan membawakan info dan aktiviti berkaitan modul penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi pada Sabtu.

Pada Jumaat, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek merasmikan Karnival Pendidikan Sinar Bestari di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini.

Dalam ucapan perasmian karnival berkenaan, Fadhlina berkata, penganjuran karnival pendidikan itu dengan tema Memacu Pendidikan Generasi Digital menjadi medan terbaik untuk memastikan penyertaan komuniti berteraskan perkembangan melalui maklumat terkini.

“Saya mengharapkan karnival ini memberi impak besar kepada semua apatah lagi dengan sokongan partisipasi komuniti setempat, sekolah dan juga ibu bapa,” kata beliau.