Modul Hadis 40 tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan

Tangkap layar program Di Sebalik Isu bertajuk 'Mengapa Wujud Polemik Modul Hadis 40 Imam Nawawi?' disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
Tangkap layar program Di Sebalik Isu bertajuk 'Mengapa Wujud Polemik Modul Hadis 40 Imam Nawawi?' disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang diperkenalkan Kementerian Pendidkan Malaysia (KPM) 19 Ogos lalu tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, modul itu penting untuk dilaksanakan bagi memberi gambaran jelas tentang agama Islam, selari dengan tanggungjawab Kerajaan dalam konteks pendidikan.

“Pada pandangan saya, ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana pendidikan adalah perkara di bawah bidang kuasa kerajaan termasuk penentuan silibus atau perkara yang diajarkan di sekolah.

“Menurut Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan, ia tidak dinafikan bidang kuasa kerajaan bagi memperkenal atau memberikan kemudahan berkaitan institusi Islam.

“Ini boleh ditafsirkan juga sebagai kuasa Kerajaan Persekutuan untuk tetapkan apa-apa perkara yang berkaitan mungkin boleh meliputi pendidikan Islam,” katanya ketika menjadi antara panelis program Di Sebalik Isu bertajuk 'Mengapa Wujud Polemik Modul Hadis 40 Imam Nawawi?' disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan Pengerusi Persatuan Hindu Agamam Ani Malaysia, Arun Dorasamy mempertikai dan membantah modul asal hadis 40 Imam Nawawi yang bakal dilaksanakan tahun depan.

Shamrahayu menjelaskan, umat Islam perlu memahami ajaran agama itu sendiri agar ketenteraman negara terus dikekalkan.

“Kita boleh lihat bahawa Islam adalah agama bagi majoriti masyarakat negara ini, untuk jaga ketenteraman, mereka perlu faham ajaran Islam yang boleh membawa kepada kestabilan dan ketenteraman.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya modul ini diperkenalkan oleh KPM, ia perlulah menyeluruh dan meliputi seluruh negara serta apa jua prinsip yang diperkenalkan adalah setara berbanding keadaan semasa yang tidak mempunyai modul sempurna seperti ini (Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi,” ujarnya.