Musim panas 2023 catat rekod paling panas - NASA

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

LOS ANGLES - Musim panas 2023 adalah yang paling panas di Bumi sejak rekod dunia bermula pada 1880, umum NASA pada Khamis.

Bulan Jun, Julai dan Ogos mencatatkan rekod 0.41 darjah Fahrenheit (0.23 darjah Celsius) lebih panas berbanding musim panas lain dan 2.1 darjah Fahrenheit (1.2 Celsius) lebih panas daripada purata musim panas antara tahun 1951 dan 1980, menurut saintis di Institut Kajian Angkasa Lepas Goddard NASA di New York, lapor Xinhua.

NASA mengumpulkan rekod suhunya daripada data suhu permukaan udara yang diperoleh daripada puluhan ribu stesen meteorologi, serta data suhu permukaan laut daripada instrumen berdasarkan kapal dan boya (pelampung).

Rekod baharu itu dicatatkan ketika panas luar biasa melanda sebahagian besar dunia dan kebakaran hutan di Kanada dan Hawaii memburukkan lagi keadaan, menyaksikan ramai yang terkorban.

"Suhu permukaan laut yang luar biasa, sebahagian besarnya didorong oleh kembalinya fenomena El Nino, penyebab utama kepada musim panas yang paling panas," kata saintis iklim dan ahli oseanografi NASA di California Selatan, Josh Willis.

El Nino ialah fenomena iklim semula jadi yang menyaksikan suhu permukaan laut lebih panas berbanding biasa dan paras laut lebih tinggi di kawasan tengah dan timur Lautan Pasifik.

Menurut NASA, musim panas yang mencatat rekod pada tahun 2023 meneruskan trend pemanasan jangka panjang. - Bernam-Xinhua

Artikel Berkaitan: