[VIDEO] Tak sangka banjir kilat ketika musim panas

Mohd Shahid membersihkan tikar yang diselaputi lumpur akibat banjir yang berlaku pada Isnin.
Mohd Shahid membersihkan tikar yang diselaputi lumpur akibat banjir yang berlaku pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Penduduk Kampung Baru Muafakat dan Kampung Baru, di sini tidak menduga diuji banjir kilat meskipun cuaca agak panas sejak seminggu lalu.

Mohd Shahid Jalal, 38, berkata, hujan lebat sejak jam 9 pagi Isnin mengakibatkan air naik sehingga hampir satu meter.

Jelasnya, banjir kilat yang berlaku lebih dua jam bermula pada sebelah tengah hari menyebabkan kereta rosak akibat ditenggelami air.

"Sudah dua tahun banjir kilat tidak berlaku. Memang tak sangka memandangkan sekarang ini musim panas dan berlaku dalam sekelip mata selepas hujan lebat turun pada awal pagi.

"Ketika kejadian anak-anak berada di sekolah, isteri dan anak bongsu berada di rumah. Air surut dalam sejam kemudian dan sebelah petang kami sibuk buat kerja-kerja pembersihan kerana banjir kali ini turut bawa lumpur," katanya.

Mohd Shahid dan isteri sibuk mengemas rumah selepas banjir kilat pada Isnin.
Mohd Shahid dan isteri sibuk mengemas rumah selepas banjir kilat pada Isnin.

Dia yang bekerja sebagai juruteknik mengakui tidak lena tidur memikirkan kejadian banjir kilat akan berulang kerana rumahnya terletak kira-kira 800 meter dari Sungai Gelang Patah.

"Barangan seperti perabot dan perkakasan elektrik tidak sempat dialihkan, ada yang rosak dan perlu diganti baharu. Kerugian mungkin mencecah RM5,000.

"Saya harap tindakan segera dapat diambil bagi memastikan kejadian banjir tidak berulang," katanya.

Sementara itu, penduduk, Wan Zuraida Abdul, 24, berkata, banjir yang berlaku bukan isu baharu buat penduduk memandangkan kawasan kampung kerap dilanda banjir sebelum ini.

"Kami tidak sangka banjir melanda memandangkan cuaca panas sejak beberapa hari lalu. Keluarga saya sudah tinggal di kawasan ini sejak 20 tahun dan mungkin pembangunan di sekitar kawasan menjadi antara puncanya.

Wan Zuraida menunjukkan paras air banjir kilat yang berlaku pada Isnin di rumahnya di Kampung Baru.
Wan Zuraida menunjukkan paras air banjir kilat yang berlaku pada Isnin di rumahnya di Kampung Baru.

"Malah keadaan parit dan longkang yang tidak diselenggara secara berkala juga menjadi antara penyumbang banjir kilat ketika hujan lebat," katanya.

Bagi Sa'diah Abd Jalil, 72, pula berkata, tembok pencegah banjir perlu dibina memandangkan kawasan perumahan terletak berhampiran Sungai Gelang Patah.

"Bayangkan kami pernah dilanda banjir sebelum ini ketika sedang membuat persiapan untuk majlis perkahwinan ahli keluarga.

"Kami juga bimbang keselamatan penduduk kampung terutama mereka yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak sekiranya kejadian berulang," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, seramai 1,500 penduduk dari Kampung Wawasan, Kampung Bukit Tempurung, Kampung Melayu, Kampung Baru, Kampung Baru Muafakat terjejas akibat kejadian itu.

"Sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Dewan Raya Gelang Patah bagi menempatkan tujuh keluarga. Bagaimanapun, PPS tersebut ditutup pada jam 9 pagi pada Selasa.

"Pihak ADUN kini sedang bantuan bencana kepada penduduk selepas banjir surut. Mereka kini sedang mengemas rumah," katanya.