Musim panas rezeki berganda buat kaki pancing

Ahmad Nazree (kiri) dan Dahalan bersama hasil tangkapan mereka. (Gambar kecil: Tangkapan lumayan buat kaki pancing pada musim panas)
Ahmad Nazree (kiri) dan Dahalan bersama hasil tangkapan mereka. (Gambar kecil: Tangkapan lumayan buat kaki pancing pada musim panas)
A
A
A

JERANTUT - Musim panas yang melanda negara turut membawa rezeki berganda buat kaki pancing dengan meraih tangkapan lebih lumayan berbanding kebiasaan.

Faktor air sungai yang surut serta ditambah keadaan cuaca panas menyebabkan ikan lebih mudah ditangkap.

Seorang kaki pancing yang ditemui, Ahmad Nazree Shahbuddin, 48, mengakui bertuah kerana berjaya membawa pulang hasil tangkapan lebih lumayan.

Bahkan dia juga terkejut kerana berjaya menaikkan lima ekor ikan patin buah, 10 ekor ikan lawang dan beberapa ekor ikan lampam serta ikan jengkua dengan berat keseluruhan 16 kilogram ketika memancing di Sungai Tembeling.

"Saya dan rakan datang ke Kampung Pagi semalam untuk mencuba nasib memancing di Sungai Tembeling apabila mendapat maklumat yang mengatakan ikan banyak pada masa ini menerusi laman sosial Facebook

"Kami tak dapat tangkap banyak ikan kerana hanya sekadar mencuba di sini, memandangkan ini adalah pertama kali kami singgah di kampung ini tetapi alhamdulillah tak sangka rezeki kali ini amat baik," ujarnya.

Tambahnya, mereka mula turun ke beberapa lubuk termasuk Lubuk Palembang pada sebelah pagi selepas bermalam di kampung tersebut.

"Umpan yang digunakan adalah buah sawit, roti dan umpan tiruan.

Hasil tangkapan yang berjaya diperolehi oleh mereka di Sungai Tembeling dekat Kampung Pagi, Jerantut.
Hasil tangkapan yang berjaya diperolehi oleh mereka di Sungai Tembeling dekat Kampung Pagi, Jerantut.

"Kami memang tak sangka, kail begitu cepat dimakan oleh pelbagai jenis ikan termasuklah patin buah. Ini yang membuatkan kami semakin teruja," katanya yang terus bersemangat untuk memancing walaupun berada di bawah terik mentari.

Sementara itu, rakannya, Dahalan Abdul Hamid, 62, berkata, hasil tangkapan yang diperolehi mereka hampir mencecah RM1,000 berdasarkan nilai pasaran semasa.

Dahalan berkata, harga ikan liar tinggi di pasaran seperti ikan patin buah mencecah RM130 sekilogram, ikan jengkua (RM60) manakala ikan lawang dan ikan lampam melebihi RM50 sekilogram.

"Bagaimanapun, ikan-ikan yang kami tangkap tak akan dijual sebaliknya dibawa pulang dan diagihkan untuk dimasak bagi sajian keluarga," tambahnya.