Usah layan provokasi ketika sertai Himpunan Selamatkan Malaysia

Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Simposium Pelaksanaan Syariah Dalam Itqan Al-muluk Bita’adil As Suluk pada Khamis.
Ahmad Samsuri ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Program Simposium Pelaksanaan Syariah Dalam Itqan Al-muluk Bita’adil As Suluk pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melayan sebarang provokasi daripada mana-mana pihak bagi mengelak sebarang insiden yang tidak diingini berlaku ketika menyertai Himpunan Selamatkan Malaysia pada 16 September nanti.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan berdasarkan perhimpunan yang pernah diadakan sebelum ini, ia akan berjalan secara aman dan lancar sekiranya tiada provokasi tercetus sepanjang himpunan berlangsung.

"Himpunan seperti itu bukanlah suatu perkara baharu di negara ini kerana ia adalah hak sebagai seorang warganegara untuk berhimpun selagi mana dibenarkan dalam demokrasi.

"Kita berharap sekiranya ada permohonan daripada penganjur untuk membuat himpunan itu, pihak berkuasa haruslah menggunakan peruntukan yang ada untuk memberi kebenaran kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Simposium Pelaksanaan Syariah Dalam Itqan Al-muluk Bita’adil As Suluk di sini pada Khamis.

Ketika ditanya sama ada Ahmad Samsuri akan menyertai himpunan itu, beliau memaklumkan tidak dapat hadir berikutan mempunyai urusan rasmi di Terengganu pada waktu tersebut.

Pada 10 September lepas, Pemuda Perikatan Nasional (PN) bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) bakal mengadakan Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia di hadapan Kompleks Sogo pada Hari Malaysia, Sabtu ini.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, kempen dijadual bermula jam 2 petang itu bertujuan untuk membuka mata rakyat berkenaan isu semasa termasuk kes pelepasan pertuduhan 47 kes rasuah dan pengubahan wang haram Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel Berkaitan:

Pada Rabu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid dilaporkan berkata, pihaknya belum menerima sebarang permohonan berhubung penganjuran perhimpunan tersebut.

Katanya, mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012, permohonan permit perlu dibuat sekurang-kurangnya lima hari sebelum tarikh perhimpunan.

Sementara itu, Sekretariat Himpunan Selamatkan Malaysia, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard berkata, tidak ada sebarang permasalahan berhubung penganjuran Himpunan Selamatkan Malaysia yang dijadualkan pada 16 September ini di tengah bandar raya Kuala Lumpur kerana perkara itu telah mendapat pemakluman pihak polis.