Pekebun dakwa benteng penghadang air masin dibina tak ikut kriteria

Keadaan benteng penahan air laut yang terlalu rendah dikhuatiri gagal bertahan lama untuk menyekat kemasukan air masin ke kawasan kebun di Kampung Sungai Suluh dan Kampung Kelicap, Kluang.
Keadaan benteng penahan air laut yang terlalu rendah dikhuatiri gagal bertahan lama untuk menyekat kemasukan air masin ke kawasan kebun di Kampung Sungai Suluh dan Kampung Kelicap, Kluang.
A
A
A

BATU PAHAT - Kira-kira 80 pekebun dari Kampung Kelicap dan Sungai Suluh sini yang mengusahakan tanah seluas kira-kira 121 hektar di Tanjung Labuh menyifatkan pembinaan benteng penghalang air masin dari masuk ke kebun mereka sebagai 'melepas batuk ditangga'.

Wakil pekebun, Khalid Kader, 65, berkata, mereka kecewa kerana pembinaannya didakwa tidak mengikut kriteria dan akan menyebabkan masalah sama berulang pada masa depan.

"Pada asalnya kami sudah gembira dengan kelulusan kerja-kerja pembinaan benteng yang dilakukan selama sebulan bermula Julai hingga 26 Ogos lalu.

"Kami lega dan menyangkakan apa yang dilakukan pihak dipertanggungjawabkan itu mampu menyelesaikan masalah dibangkitkan sejak awal Julai lalu berakhir.

"Namun apabila pihak kami melakukan tinjauan di kawasan pembinaan, kami lihat pembinaan benteng untuk menutupi semua runtuhan pada benteng amat mengecewakan kerana seperti tidak mengikut apa yang dirancang selain masih ada lagi runtuhan tidak ditutup," katanya kepada pemberita.

Khalid berkata, dia difahamkan pembinaan benteng yang pecah itu berjumlah RM90,000, namun jika dibandingkan dengan kerja-kerja yang sudah dilakukan itu memang tidak sepadan dengan kos.

Menurut Khalid lagi, benteng baharu yang dibina di tempat pecah itu terlalu rendah dan tidak akan dapat menghalang kemasukan air laut apabila berlaku air pasang besar.

Ujarnya, lebih malang lagi benteng baharu itu dijangka mampu bertahan tidak sampai setahun kerana apabila air laut melebih paras ketinggian benteng akan menyebabkan hakisan sebelum ini runtuh kembali sedikit demi sedikit.

Artikel Berkaitan:

"Berikutan banyak lagi runtuhan pada benteng yang tidak dibaiki, perbelanjaan yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kemasukan air laut seakan sia-sia kerana masalah dihadapi pekebun tidak selesai," ujarnya.

Justeru, mereka menyarankan pihak bertanggungjawab melakukan pembinaan semula benteng pecah itu mengikut piawaian manakala pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) diminta turun padang melihat projek berkenaan.

Pada 4 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan kira-kira 80 petani di dua kampung berkenaan kerugian jutaan ringgit selepas kebun dengan

tanaman pelbagai jenis kelapa mati serta tidak mengeluarkan hasil.

Sehari selepas itu pula, pihak JPS Batu Pahat menyatakan benteng dibina atas tanah milik petani dan ini menyebabkan usaha mendapatkan peruntukan membina benteng kekal berhadapan kesukaran.

Bagaimanapun perkara tersebut dinafikan petani terbabit dan mendakwa jarak antara sempadan kebun mereka dengan benteng tersebut kira-kira 12 meter.