Johor catat RM31 bilion FDI tahun lepas

Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis.
Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail pada Khamis.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - [DIKEMAS KINI] Johor mencatatkan RM31 bilion pelaburan langsung asing (FDI) pada 2023 dengan sebahagian besarnya dipacu oleh sektor perkhidmatan.

Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, sektor perkhidmatan menyumbang RM21.56 bilion kepada FDI manakala sektor perkilangan sebanyak RM9.43 bilion.

"Sumber utama pelaburan asing (untuk sektor perkhidmatan) adalah Singapura, China dan Korea Selatan,” katanya pada Persidangan Ketiga DUN Johor ke-15 di Bangunan Sultan Ismail, di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Hahasrin Hashim (BN-Panti) yang bertanyakan mengenai pelaburan baharu dari dalam dan luar negara di Johor pada 2023 hingga kini.

Ting Han berkata, bagi sektor perkilangan, sumber utama pelaburan asing adalah Singapura, Taipei (Taiwan) dan Amerika Syarikat.

Menurutnya, Johor juga berjaya merekodkan RM12.05 bilion pelaburan langsung domestik (DDI) tahun lepas dengan sektor perkhidmatan menyumbang RM6.86 bilion dan sektor perkilangan RM5.18 bilion.

"Perkhidmatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang meliputi pusat data, perkhidmatan perkongsian awan, reka bentuk perisian dan sistem serta kandungan kreatif dan digital merupakan sub-sektor penyumbang utama bagi sektor perkhidmatan,” katanya.

Bagi sektor perkilangan, katanya, sub-sektor utama bagi 2023 adalah elektrik dan elektronik, jentera dan peralatan serta kimia dan produk kimia.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, secara keseluruhan, 751 projek pelaburan telah diiluluskan tahun lepas yang mewujudkan 19,053 peluang pekerjaan.

Tambahnya lagi kerajaan negeri juga optimis dengan perkembangan sektor pelaburan pada tahun ini dan menjangkakan prestasi yang lebih baik berbanding 2023. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!