Saya jadi ‘orang’ kerana jasa cikgu - Omar

Omar (empat dari kanan) meraikan sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah Menengah Tanjung Puteri Resort bersama para guru sekolah berkenaan hari ini.
Omar (empat dari kanan) meraikan sambutan Hari Guru Peringkat Sekolah Menengah Tanjung Puteri Resort bersama para guru sekolah berkenaan hari ini.
A
A
A

PASIR GUDANG - Peranan besar guru dalam mendidik anak bangsa dengan ilmu nilai-nilai murni dan integriti akhirnya akan membentuk generasi yang berakhlak mulia dan berwawasan.

Jasa dan pengorbanan besar guru itulah yang sering menjadi aspirasi kepada Ahli Majlis Majlis Bandaraya Pasir Gudang Zon Tanjung Puteri, Omar Ponijan dalam meneruskan kesinambungan membela kebajikan rakyat walaupun melalui medium berbeza.

Menurutnya, dek kerana segala ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru sejak sekolah kebangsaan sehingga sekolah menengah, beliau akhirnya jadi ‘orang’ dan mampu mencorak kehidupan masa depan yang baik.

“Dalam usaha membina negara madani, kita memerlukan rakyat yang berilmu dan berkemahiran tinggi, dan guru adalah pemangkin kepada pembentukan generasi ini.

“Saya sentiasa menyanjungi dan menghargai jasa guru-guru yang pernah mendidik saya sehingga jadi ‘orang’ seperti hari ini.

“Semoga semua guru di seluruh negara akan terus diberikan kekuatan, kesabaran, dan kebijaksanaan dalam melaksanakan tugas yang mulia ini. Teruslah menjadi inspirasi kepada generasi masa depan kita,” katanya ketika melawat empat sekolah sekitar Zon Tanjung Puteri sempena sambutan Hari Guru hari ini.

Antara sekolah yang dilawati itu ialah Sekolah Menengah (SMK) Tanjung Puteri Resort, Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Puteri, SK Pasir Puteh dan Sekolah Agama Pasir Puteh.

Artikel Berkaitan:

Omar (tengah) turut melawat SK Pasir Puteh untuk bersama para guru dan murid-murid menyambut Hari Guru 2024, hari ini.
Omar (tengah) turut melawat SK Pasir Puteh untuk bersama para guru dan murid-murid menyambut Hari Guru 2024, hari ini.

Jelas Omar lagi, tema Hari Guru tahun ini iaitu ‘Guru Jauhari Digital Inspirasi Negara Madani’ menggambarkan peranan penting guru mendepani perubahan arus dunia pendidikan yang kini memasuki era digitalisasi.

Kata beliau, guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi juga membimbing pelajar menggunakan teknologi dengan bijak, di mana mereka adalah jauhari atau permata yang berharga dalam dunia maya yang penuh informasi.

“Dengan ledakan dunia digitalisasi ini, saya tahu peranan dan cabaran bidang perguruan semakin berbeza. Dalam usaha memberikan pengajaran secara konvensional, dalam masa sama para guru juga perlu beradaptasikan diri dengan perkembangan teknologi digital supaya corak pengajaran dan pembelajaran lebih interaktif kepada generasi baharu hari ini.

“Namun, saya percaya dengan iltizam dan keazaman para guru, mereka akan mampu mengharungi segala dugaan serta memikul tanggungjawab mendidik anak bangsa dengan dedikasi, jujur dan ikhlas.

“Marilah kita menghargai segala pengorbanan dan usaha gigih para guru. Terima kasih kerana tidak pernah lelah dalam mendidik dan membimbing anak-anak kita. Anda adalah pahlawan yang sebenarnya menjadi tulang belakang kejayaan negara kita,” katanya yang pernah belajar di SK Ladang Mount Austin dan SMK Taman Johor Jaya 1.