Bicara kes Jana Wibawa Adam Radlan bermula Mei depan

Adan Radlan (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis bersama peguamnya, Muhammad Shafee.
Adan Radlan (kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Khamis bersama peguamnya, Muhammad Shafee.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Perbicaraan tiga kes rasuah berkaitan projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) membabitkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad di Mahkamah Sesyen di sini, ditetapkan bermula Mei tahun depan.

Hakim, Suzana Husin menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes yang dihadiri Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Adam Radlan, 42.

Mahkamah menetapkan perbicaraan berlangsung selama 15 hari, iaitu pada 27 hingga 29 Mei, 10 hingga 12 Jun manakala Julai pada 9, 10, 11, 22, 23 dan 24 Julai manakala 5 hingga 7 Ogos, tahun depan.

Hakim itu turut menetapkan sebutan kes dibuat pada 31 Oktober depan.

Sementara itu, semasa prosiding, Farah Yasmin berkata, pihak pendakwaan berhasrat untuk memindahkan dua kes rasuah yang dihadapi Adam Radlan ke mahkamah ini, untuk dibicara bersama tiga kes lain.

“Kami akan memfailkan permohonan secara bertulis dalam masa dua minggu dan pada prosiding ini, kami telah menyerahkan senarai saksi kepada pihak pembelaan.

“Seramai 20 saksi akan dipanggil untuk kes pendakwaan,” kata Farah Yasmin selepas ditanya oleh hakim bilangan saksi tersebut.

Pada 21 Februari lalu, ahli perniagaan itu dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Bagi pertuduhan ketiga, ahli perniagaan ini dituduh menerima RM2.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Sementara dua lagi kes di hadapan Hakim Azura Alwi, ahli politik ini didakwa atas pertuduhan menerima dan meminta rasuah masing-masing RM2 juta.