Kes Adam Radlan minta, terima RM2 juta dibicarakan bersama

Adam Radlan memakai kot dan bertali leher hitam hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding sebutan kes rasuahnya pada Isnin.
Adam Radlan memakai kot dan bertali leher hitam hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi menghadiri prosiding sebutan kes rasuahnya pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin membenarkan dua kes meminta dan menerima rasuah masing-masing RM2 juta berhubung Program Jana Wibawa membabitkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, dibicarakan bersama.

Adam Radlan sebelum ini berdepan lima pertuduhan kes rasuah iaitu tiga di Kuala Lumpur dan dua di Shah Alam.

Hakim Azura Alwi memutuskan dua daripada lima kes itu, dibicarakan bersama selepas membenarkan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Siti Amirah Muhammad Ali.

Semasa prosiding, Siti Amirah berkata, pemimpin politik itu telah didakwa atas satu tuduhan menerima rasuah RM2 juta di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan hakim telah membenarkan kes itu dipindahkan ke mahkamah ini.

Beliau berkata, di ibu negara pula, ahli perniagaan berusia 42 tahun itu didakwa atas dakwaan meminta rasuah RM2 juta.

“Susulan itu, pendakwaan memohon agar pertuduhan menerima rasuah RM2 juta yang dipindahkan dari Shah Alam, dibicara bersama kes meminta suapan nilai sama.

“Kami telah menyerahkan sebahagian dokumen kes kepada pasukan pembelaan, jadi pendakwaan memohon satu tarikh lain ditetapkan untuk serahan baki dokumen itu,” katanya.

Azura kemudiannya menetapkan 14 Julai depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen tersebut.

Sementara itu, di mahkamah lain di hadapan Hakim, Siti Aminah Ghazali, Timbalan Pendakwa Raya, Natrah Fareha Rahmat memaklumkan bahawa, satu kes menerima rasuah RM2.1 juta berhubung projek Jana Wibawa yang dihadapi Adam Radlan di Shah Alam, dipindahkan ke sini.

Natrah Fareha kemudian memohon supaya pertuduhan itu dibacakan kepada Adam Radlan dan ahli perniagaan itu mengaku tidak bersalah dan mohon kes itu dibicarakan.

“Kami mohon mahkamah mengguna pakai jaminan yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam,” katanya.

Siti Aminah membenarkan perkara itu dan menetapkan 14 Julai bagi semula kes.

Pada tarikh sebutan itu, pendakwaan akan memohon ketiga-tiga kes dibicarakan bersama.

Dalam kes ini, pembelaan diwakili peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam.

Pada 21 Februari lalu, ahli perniagaan itu dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan, RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Keesokan hari, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing RM2 juta dan RM2.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Pada 28 Februari, dia dituduh atas pertuduhan kelima di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meminta rasuah RM2 juta, tahun lalu.