Adam Radlan perlu lapor diri di SPRM setiap awal bulan

Adam Radlan
Adam Radlan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat mengingatkan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, supaya melaporkan diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), antara 1 dan 7 haribulan setiap bulan.

Hakim Azura Alwi memutuskan demikian, selepas pihak pendakwaan kes rasuah projek di bawah Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa) memberitahu bahawa pemimpin politik itu gagal melaporkan diri di Pejabat SPRM setiap awal bulan.

Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide berkata, perkara itu merupakan syarat tambahan yang ditetapkan mahkamah bagi permohonan ikat jamin ahli perniagaan berkenaan.

"Mohon mahkamah memberi peringatan kepadanya supaya mematuhi syarat tambahan yang dikeluarkan.

"Kami memohon, supaya mahkamah menyatakan masa yang spesifik, merujuk kepada tarikh setiap awal bulan yang ditetapkan sebelum ini,'' katanya.

Selain Maziah, pendakwaan turut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh dan Natrah Fareha Rahmat.

Dalam pada itu, ketika sebutan kes di dua mahkamah berasingan, pendakwaan memberitahu bahawa, semua dokumen yang diperlukan untuk perbicaraan telah diserahkan kepada pihak Adam Radlan.

Semasa prosiding di hadapan Hakim Azura dan Suzana Hussin, pendakwaan memaklumkan bahawa, hanya senarai saksi belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

Pembelaan yang diwakili peguam, Datuk Seri Rajan Navaratnam, kemudiannya mengesahkan perkara tersebut.

Kedua-dua mahkamah menetapkan 14 September depan bagi sebutan kes seterusnya untuk status penyerahan senarai saksi pendakwaan kepada pihak pembelaan.

Pada 21 Februari lalu, ahli perniagaan itu dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, atas satu pertuduhan meminta suapan iaitu wang tunai sejumlah 3.5 hingga tujuh peratus nilai projek yang akan diperoleh daripada Mat Jusoh Mamat merupakan Pengarah Urusan syarikat MIE Infrastructure & Energy Sdn Bhd.

Dia turut didakwa atas satu lagi pertuduhan menerima suapan, RM500,000 ke akaun CIMB Bank Berhad miliknya daripada individu sama sebagai upah kerana membantu syarikat tersebut mendapatkan surat sama bagi Projek Membina Jalan Sungai Adam ke Kampung Banat, Perlis daripada Kerajaan Malaysia secara rundingan terus yang jumlah keseluruhannya bernilai RM47.8 juta.

Keesokan hari, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas dua pertuduhan menerima rasuah masing-masing RM2 juta dan RM2.1 juta berhubung projek Jana Wibawa.

Pada 28 Februari, dia dituduh atas pertuduhan kelima di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan meminta rasuah RM2 juta, tahun lalu.