Hassan gesa Anwar jawab isu DNAA Zahid di Dewan Rakyat

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketika ramai ahli Parlimen ‘menghentam’ Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran keputusan mahkamah berkaitan kes melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk), seorang ahli Parlimen kerajaan bangkit mempertahankan kepimpinan Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) menggesa Anwar memberi penjelasan di Dewan Rakyat mengenai perkara berkenaan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) akan datang.

Beliau menegaskan, langkah itu penting bagi membolehkan ahli Parlimen sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang mendapat penjelasan sebenar.

"Dari segi undang-undang, apa yang dilaporkan dalam akhbar itu (statusnya) adalah dengar cakap, namun saya percaya apa yang beliau (Anwar) cakap kerana ia perbualan antara sahabat dalam parti, perbualan antara pemimpin dengan ahli parti.

"Saya percaya apa yang beliau cakap, saya tidak akan mencampakkan beliau di bawah bas dan akan pertahankan beliau di dewan ini.

“Untuk berlaku adil supaya sahabat di blok pembangkang dan kami di backbencher (penyokong kerajaan), mahu dengar daripada Perdana Menteri sendiri supaya isu ini boleh dinoktahkan,” katanya pada sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Khamis

Dalam pada itu, Hassan menggesa Peguam Negara memikul tanggungjawab dalam isu berkenaan sekali gus menyokong tindakan Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi untuk memanggil bekas Peguam Negara dan Peguam Negara untuk menjawab isu berkenaan.

"Ketika keputusan mahkamah dibuat, Perdana Menteri di Jakarta kerana menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN dan saya baca laporan menyatakan yang beliau menjelaskan tidak campur tangan kerana ia atas kuasa budi bicara Peguam Negara.

Artikel Berkaitan:

"Apabila Perdana Menteri balik ke Malaysia, beliau juga tegaskan perkara itu (keputusan DNAA) adalah budi bicara Peguam Negara dan tidak boleh campur tangan kerana ia Peguam Negara," ujarnya.

Sebagai rekod pada 5 September lalu, Hassan membangkitkan pelbagai persoalan mengenai keputusan DNAA Ahmad Zahid menerusi puisi bertajuk ‘Sajak DNAA’ yang dimuat naik di laman Facebook.

Beliau meluahkan rasa kecewa dan mempersoal perundangan negara yang didakwa mengamalkan ‘sistem dua darjat’.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!