Himpunan bantah DNAA Zahid cemar institusi kehakiman - AMK Kedah

Mohammed Taufiq. Laporan Sinar Harian pada 10 September lalu.
Mohammed Taufiq. Laporan Sinar Harian pada 10 September lalu.
A
A
A

ALOR SETAR - Perikatan Nasional (PN) diminta menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang melepaskan tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi daripada 47 pertuduhan.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, semua pihak seharusnya meletakkan kepercayaan kepada sistem perundangan dan kehakiman negara sebagai institusi yang bebas dan berkecuali.

Menurutnya, ia tidak sewajarnya dicemari dengan mengadakan perhimpunan bantahan terhadap kes terbabit yang dilihat akan mencemarkan nama baik badan kehakiman.

“Yakinlah bahawa keputusan kes berkenaan dibuat bukan atas arahan sesiapa atau campur tangan kerajaan madani. Ia keputusan yang berlandaskan perundangan negara dan diadili badan kehakiman secara telus,” katanya di sini pada Selasa.

Ahli Parlimen Sungai Petani itu berkata demikian bagi mengulas hasrat Pemuda PN bersama gabungan badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan Himpunan Gerakan Selamatkan Malaysia di hadapan Kompleks Sogo pada Hari Malaysia, Sabtu ini.

Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari memaklumkan, kempen yang dijadual bermula pada 2 petang itu bertujuan untuk membuka mata rakyat berkenaan isu semasa termasuk pelepasan pertuduhan kes rasuah dan pengubahan wang haram Ahmad Zahid.

Mohammed Taufiq sebaliknya berharap PN memberi tumpuan untuk tampil sebagai pembangkang yang berkualiti dalam membantu mengekalkan kestabilan negara.

“Negara kita kini berada dalam hala tuju yang jelas, jadilah pembangkang yang menyumbang kepada negara dan kekalkan keamanan politik.

Artikel Berkaitan:

“Mengadakan himpunan bantahan seperti itu amat tidak wajar, akurlah kepada keputusan mahkamah. Protes jalanan hanya akan mencemarkan imej negara di mata dunia,” jelasnya lagi.

Menurutnya, pemimpin PN perlu bersikap adil dalam memberikan pandangan, malah menyifatkan nada sama patut dilontarkan ketika pembebasan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.