Isu DNAA Zahid: Dewan Rakyat kecoh, aturan sidang tertangguh 30 minit

Shahidan
Shahidan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sesi perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat kecoh apabila beberapa ahli Parlimen pembangkang bangkit mempersoal tindakan Speaker, Tan Sri Johari Abdul yang menolak usul tergempar dibawa Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) pada Isnin.

Beberapa wakil pembangkang termasuk Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bangkit selepas diberi ruang oleh Timbalan Speaker, Datuk Ramli Md Nor, menyebabkan aturan asal mesyuarat tertangguh selama 30 minit.

Ahli Parlimen blok pembangkang mendakwa Johari telah berjanji untuk memberi ruang kepada Wan Ahmad Fayhsal, namun tidak ditunaikan menyebabkan mereka menuntut usul berkaitan keputusan melepas tanpa membebaskan (DNAA) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) daripada 47 pertuduhan berkait Yayasan Akalbudi, dibahaskan.

Justeru, Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) bangkit meminta penjelasan kerajaan dan menyatakan hala tuju terhadap kes berkenaan.

"Saya sudah bawa semula usul itu bersama Machang, kenapa (usul) 18(1) perlu disegerakan untuk kepentingan orang ramai. Kami rasakan ianya perlu dibincangkan sebab semua rakyat Malaysia membuka mulut.

"Parti politik membuka mulut. DAP membuka mulut. Termasuk parti Muda, PKR serta peguam kanan di negara ini juga membuka mulut supaya Peguam Negara bagi penjelasan mengapa kes ini digugurkan.

"Penolakan yang dibuat Speaker (Johari) semalam (Isnin) juga bukan alasan. (Alasan) penolakan dibuat Speaker semalam kerana ketua majlis minta supaya perkara ini tak masuk dalam senarai. Sepatutnya Speaker memberi alasan mengapa dia menolak peraturan mesyuarat 18(1)," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sementara itu, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) bangkit menegaskan, punca beberapa ahli Parlimen pembangkang bangkit di Dewan Rakyat kerana terdapat komitmen daripada Johari seperti yang dijanjikan.

Artikel Berkaitan:

"Itu isunya. Dari satu sudut kita akur kepada peraturan mesyuarat, kita faham. Tetapi Parlimen juga bergerak atas landasan konvensyen dan kebiasaan. Jadi, tidak ada pelanggaran atau ketidakpatuhan," ujarnya.