Beras Gerai dari Besut dapat permintaan tinggi

Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar (tiga dari kanan) meninjau proses pembungkusan Beras Gerai ketika melakukan lawatan ke Kilang Padi Konsortium Pertubuhan Peladang Terengganu di Jertih, Besut pada Julai lalu.
Pengerusi LPP, Datuk Mahfuz Omar (tiga dari kanan) meninjau proses pembungkusan Beras Gerai ketika melakukan lawatan ke Kilang Padi Konsortium Pertubuhan Peladang Terengganu di Jertih, Besut pada Julai lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Selain jenama Beras Ganu, satu lagi keluaran beras tempatan dari Besut iaitu Beras Gerai menjadi pilihan rakyat Terengganu kerana dijual pada harga rendah.

Beras keluaran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai itu dijual pada harga RM13 untuk setiap bungkusan seberat lima kilogram (kg) sementara bagi bungkusan seberat 10kg dijual pada harga RM26.

Pengurus Besar PPK Gerai, Amrul Azri Shamsuddin berkata, beras dikeluarkan mengikut harga kawalan ditetapkan kerajaan itu melibatkan 1,402 pesawah dengan kawasan padi seluas 2,926 hektar di daerah tersebut.

Jelas beliau, setakat ini sebanyak 45 metrik tan Beras Gerai dikeluarkan setiap bulan untuk dipasarkan di seluruh Terengganu serta turut melibatkan beberapa kawasan di Selangor.

"Kita akan tingkatkan pengeluaran beras ini kepada dua kali ganda menjadikan sebanyak 90 metrik tan beras dikeluarkan menjelang Disember tahun ini berdasarkan permintaan yang semakin tinggi.

"Kita jangka dalam tempoh 10 tahun lagi, kita dapat memasarkan Beras Gerai untuk pasaran di seluruh negara," katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Menurut Amrul Azri, aktiviti pengedaran beras di bawah naungan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) itu turut mendapat kerjasama Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor.

Beras Gerai keluaran PPK Gerai di Besut kini turut mendapat permintaan tinggi di Terengganu.
Beras Gerai keluaran PPK Gerai di Besut kini turut mendapat permintaan tinggi di Terengganu.

Artikel Berkaitan:

"Kita mendapat kerjasama yang baik bagi memasarkan produk ini bagi memenuhi permintaan pengguna yang berada di luar Terengganu.

"Setakat ini kesemua 15 PPK di seluruh Terengganu dijadikan pusat pengedaran beras tersebut sebelum dipasarkan kepada pengguna melalui lebih 30 pasar raya dan kedai runcit di sekitar Terengganu," ujarnya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan Terengganu akan meningkatkan pengeluaran beras bagi memenuhi permintaan pengguna.

Kerajaan negeri melalui anak syarikat Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) akan meningkatkan pengeluaran beras Super Special Tempatan (SST) di bawah jenama Beras Ganu MyGAP kepada sebanyak 100 tan metrik sebulan berbanding 60 tan metrik dalam tempoh sama sejak Julai lalu.

Isu kekurangan bekalan beras tempatan di pasaran kini hangat diperkatakan terutama di media sosial.

Situasi itu berlaku susulan peningkatan harga beras import menyebabkan permintaan terhadap beras keluaran tempatan pada harga murah semakin meningkat.