Penjawat awam perlu sedia tempatkan Malaysia di pentas dunia

Mohd Zuki - Foto Bernama
Mohd Zuki - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Warga perkhidmatan awam diharap telah bersedia untuk menempatkan Malaysia di pentas dunia sebagai peneraju pendigitalan penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Bercakap di Majlis Persidangan Digital Sektor Awam 2023, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, ia selari dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar GovTech Malaysia diwujudkan untuk memperhebat revolusi digital yang akan menambah keupayaan kerajaan ke arah meningkatkan kualiti data, inovasi dan perkhidmatan awam secara lebih holistik.

"GovTech merupakan pendekatan menyeluruh kerajaan dalam pemodenan sektor awam yang menekankan kepada tiga aspek iaitu berpaksikan rakyat, akses universal kepada perkhidmatan kerajaan dan pendekatan keseluruhan kerajaan terhadap transformasi," katanya pada Rabu.

Menurutnya, usaha itu sudah pasti memberi kesan positif kepada GovTech Maturity Index (GTMI) yang mula diperkenalkan pada tahun 2020 melibatkan 198 negara.

Beliau berkata, berdasarkan Laporan GovTech Maturity Index, 2022 Update: Trends in Public Sector Digital Transformation, Malaysia dikategorikan dalam kumpulan A atau GovTech Leaders yang berada dalam kumpulan indeks sangat tinggi.

"Indeks ini sudah pasti akan menjadi penanda aras oleh kerajaan dalam usaha meningkatkan keupayaan dan kompetensi negara dari perspektif pendigitalan," katanya.

Ujar beliau, penjawat awam perlu menyemarakkan budaya inovasi dan meningkatkan kreativiti dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Beliau berkata, penjawat awam bukan sekadar menyediakan sebaliknya menawarkan perkhidmatan terbaik dan bersifat penyelesaian masalah kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

Jelas Mohd Zuki, kemunculan teknologi baharu tidak boleh disangkal, terutamanya jika membabitkan penggunaan pelbagai medium teknologi untuk mempercepat dan memudahkan urusan rakyat serta meningkatkan kualiti kehidupan.

"Rakyat kini bukan sahaja boleh mendapatkan maklumat daripada sumber internet menggunakan enjin pencarian seperti Google, malah boleh menggunakan aplikasi kecerdasan buatan seperti ChatGPT yang lebih mudah dan berstruktur berbanding enjin pencarian biasa.

"Saya berharap perkhidmatan awam dapat seiring dan sejalan dengan perkembangan semasa dalam memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan," katanya.