Inisiatif IDE, Ekonomi Madani bangunkan ekonomi digital Malaysia

Fahmi - Foto Bernama
Fahmi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ekonomi Digital Islam (IDE) dan Ekonomi Madani merupakan inisiatif saling melengkapi bertujuan menggalakkan pembangunan ekonomi digital di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana IDE memacu ke arah mewujudkan masyarakat inklusif sekali gus menterjemahkan visi Malaysia Madani untuk membina masyarakat saksama yang menekankan pengagihan kekayaan dan sumber yang lebih adil.

"Ia adalah sesuatu yang sangat signifikan memandangkan ia tidak hanya memanfaatkan potensi ditawarkan teknologi malah menggabungkan prinsip-prinsip Islam ke dalam landskap ekonomi digital negara," katanya ketika berucap pada Seminar Industri IDE 2023.

Beliau berkata, bertepatan dengan inisiatif IDE, Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memperkenalkan Malaysia Digital Tasree untuk menerajui penglibatan industri, pengesahan idea dan mempromosi projek perintis yang akan memacu ke arah pengkomersilan solusi teknologi berkaitan IDE.

Fahmi berkata, ia seterusnya bakal menjadi wahana yang lestari bagi agenda Malaysia Digital (MD) Pemangkin.

"IDE berpaksi pada prinsip kesaksamaan dan keadilan. Produk dan perkhidmatan IDE menawarkan suatu pilihan alternatif ‘beretika' yang boleh berkembang menjadi enjin pertumbuhan baharu untuk ekonomi Malaysia,” katanya.

Fahmi berkata, falsafah IDE dan Ekonomi Madani berteraskan pada pendekatan berpusatkan komuniti iaitu Ekonomi Madani menekankan kebajikan bersama dan semangat kerjasama selari dengan visi berkongsi kemakmuran IDE.

Sebagai contoh, beliau berkata, remobilisasi ekonomi sosial Malaysia seperti zakat dan wakaf menerusi platform fintech akan menerapkan kesedaran dalam jangka masa panjang mengenai literasi kewangan, membina jaringan keselamatan kewangan dan kesihatan serta menjana laporan berimpak.

Artikel Berkaitan:

"Berteraskan ketelusan, keadilan dan integriti, kedua-dua IDE dan Ekonomi Madani menjadi asas kepada budaya keusahawanan bertanggungjawab dan sikap beretika,” katanya.

Sementara itu, Fahmi berkata, menerusi kolaborasi proaktif dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Perbadanan Pembangunan Halal (HDC), MDEC telah memulakan inisiatif untuk memudah cara hala tuju pendigitalan Pelan Induk Industri Halal Malaysia 2030.

Fahmi berkata, kolaborasi antara MDEC, agensi utama berkaitan kerajaan dan usaha sama sektor swasta adalah komponen kritikal dalam membantu syarikat teknologi berpangkalan di Malaysia berkembang.

"Memperkasa ekosistem Halal Malaysia pada pentas global adalah sangat penting. Keupayaan untuk menyelaraskan standard badan pensijilan dan polisi Halal luar dengan JAKIM memangkin peluang untuk pelaburan dalam dan luar negara bagi industri Halal Malaysia.

"Pembolehnya ialah digital, dan pelan ini membuktikan komitmen terhadap objektif IDE di samping membawa masuk inovasi digital transformatif,” tambahnya.

Seminar Industri IDE 2023, anjuran Kementerian Komunikasi dan Digital menerusi MDEC berlangsung hari ini bagi membina kolaborasi dan usaha sama dengan pemain industri utama dalam sektor ekonomi digital Islam. - Bernama