Tingkat kualiti hidup rakyat dengan gaji lebih baik fokus NIMP 2030 - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) di Menara MITI pada Jumaat.
--fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) di Menara MITI pada Jumaat. --fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 direka untuk memacu trajektori Malaysia sebagai peneraju global dalam pembangunan perindustrian selari dengan rangka kerja Ekonomi Madani untuk memastikan pengagihan kekayaan ekonomi yang adil kepada rakyat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia juga akan melebarkan hubungan domestik Malaysia bagi mencipta kekayaan merentasi negara dan mengukuhkan kedudukan dalam rangkaian nilai global.

"NIMP 2030 merupakan komponen utama Ekonomi Madani kerana ia akan menyokong realisasi reformasi ekonomi.

"Ia akan menggiatkan semula sektor pembuatan untuk memastikan Malaysia kekal berdaya tahan di tengah-tengah cabaran ekonomi dan trend mega (perubahan teknologi ke arah pembangunan global dan makroekonomi) yang meningkat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan NIMP 2030 di Menara Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, pelan itu dilaksanakan tepat pada masanya untuk mempercepatkan transformasi perindustrian di Malaysia, sejajar dengan usaha merealisasikan visi negara.

"Sektor pembuatan berdiri sebagai kuasa penting untuk memacu pertumbuhan dan pembangunan ekonomi Malaysia, menjadi penyumbang penting kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara dan menyediakan pekerjaan kepada 2.7 juta individu.

Artikel Berkaitan:

"Kita mesti merebut peluang untuk mengembangkan pangkalan kerana Malaysia kini berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan tiga trend global utama," ujarnya.

Mengulas lanjut, Anwar memberitahu trend pertama adalah situasi geopolitik global yang mendorong syarikat untuk beralih ke Asia Tenggara sebagai destinasi 'Plus One' untuk memastikan keselamatan ekonomi dan daya tahan rantaian bekalan.

Menurutnya, ia membuka peluang kepada Malaysia untuk terus berintegrasi ke dalam Rantaian Nilai Global dengan memanfaatkan infrastruktur perindustrian yang baik, lokasi strategik dan reputasi sebagai salah satu destinasi utama untuk inovasi serta menjalankan perniagaan.

"Kedua, kita perlu mempercepatkan usaha pendigitalan untuk kekal di hadapan dalam era pasca-pandemik serta meningkatkan usaha untuk membangunkan bakat berkemahiran tinggi dan meningkatkan program-program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

"Inisiatif ini akan memperkasakan tenaga kerja Malaysia untuk meningkatkan kecekapan dan mempercepatkan keupayaan inovatif seterusnya mewujudkan kumpulan modal insan berkemahiran yang lebih besar untuk negara," tambahnya.

Jelasnya, dalam menghadapi cabaran perubahan iklim, negara perlu mengamalkan amalan mampan terutamanya dalam pasaran sensitif berkaitan alam sekitar, sosial dan korporat (ESG) untuk mencipta peluang pertumbuhan baharu dalam pembuatan hijau, kenderaan elektrik serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS).

NIMP 2030 pacu negara jadi peneraju global pembangunan industri

Sementara itu menerusi laporan Bernama, Anwar berkata, NIMP 2030, komponen utama Ekonomi Madani antara lain akan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat dengan jangkaan limpahan hasil yang lebih tinggi daripada sasaran ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, ia termasuk pekerjaan dengan gaji yang lebih baik dan perkongsian kekayaan untuk membina masyarakat yang lebih adil dan makmur.

"Pewujudan peluang pekerjaan bernilai tinggi ini penting untuk menaikkan dan memperluaskan masyarakat kelas pertengahan.

"Arah aliran mega global seperti peningkatan peranan teknologi Industri 4.0, perubahan iklim dan amalan kelestarian, anjakan demografi dan rantaian nilai globalisasi mengubah sifat pekerjaan,” kata Anwar semasa melancarkan NIMP 2030 di sini pada Jumaat.

NIMP 2030, yang mengambil pendekatan berasaskan misi yang jelas dan akan merangsang bukan sahaja keseluruhan ekosistem sektor pembuatan tetapi juga seluruh negara untuk memacu transformasi perindustrian dan merealisasikan wawasan Malaysia.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, transformasi kemahiran adalah kunci untuk membangunkan kecekapan masa depan dan ini telah ditetapkan sebagai fokus strategi perindustrian negara.

"Bagi memenuhi permintaan industri, kita akan melaksanakan sistem gaji progresif yang menggalakkan pembangunan kemahiran dan kemajuan kerjaya.

"Kerjasama awam-swasta akan dipertingkatkan dalam program TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik), memastikan pemerolehan kemahiran yang diperlukan oleh industri," kata beliau.

Anwar berkata, kerajaan yakin strategi dalam NIMP 2030 akan membuahkan hasil yang bermakna dan memberi impak besar kepada ekonomi negara.

Dari segi pekerjaan, Perdana Menteri berkata, pertumbuhan pada 2.3 peratus diunjurkan dari 2023, menyediakan pendapatan untuk 3.3 juta orang pada 2030.

"Trajektori pekerjaan yang semakin meningkat dalam industri disebabkan pewujudan pekerjaan berkemahiran tinggi ketika negara maju ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan peningkatan dalam automasi dan kemajuan teknologi,” kata beliau

Beliau berkata, menerusi NIMP, gaji median atau penengah upah untuk sektor pembuatan dijangka naik 9.6 peratus, mencecah RM4,510 daripada RM1,976, yang di bawah purata kebangsaan walaupun peranan dominan sektor itu dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Peningkatan 128 peratus daripada 2021 ini didorong oleh peralihan industri ke arah aktiviti nilai tambah yang lebih tinggi dan pewujudan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi,” tambahnya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan komited sepenuhnya terhadap NIMP 2030 - Anwar

Anwar akan lancarkan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030

NIMP 2030 nafas baharu perindustrian Malaysia - Tengku Zafrul