Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti akan diperkenalkan - PM

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan Akta Tatakelola Sektor Awam dan Pelan Integriti sebagai panduan tatakelola bebas rasuah kepada semua entiti baik dalam sektor awam mahupun swasta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia berikutan kerajaan komited untuk memulihkan imej Malaysia pada peringkat antarabangsa sekali gus mengangkat darjat menjadi sebuah negara yang bermaruah dan antirasuah.

Beliau berkata, kerajaan juga menyasarkan kedudukan ke-25 teratas buat Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah sedunia dalam tempoh 10 tahun.

"Kerajaan juga menekankan pengukuhan jati diri dan akhlak dalam diri setiap warganegara. Justeru, pentingnya pendidikan kesedaran antirasuah yang harus dikembangkan pada semua peringkat usia.

Sementelahan, agenda mempromosi dan mendidik masyarakat mengenai nilai-nilai murni demi membina sahsiah terpuji akan terus direkayasa,” katanya ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, langkah itu merupakan antara empat perkara pokok yang menjadi iltizam kerajaan untuk melaksanakan islah dalam perkhidmatan awam, termasuk Tatakelola dan Rangka Kerja Institusi dan Perundangan Berkaitan Rasuah.

Sementara itu, beliau berkata, penggunaan Identiti Digital (ID) Nasional secara rintis bagi pengesahan identiti yang selamat dan terpelihara dijangka diluncurkan pada 2025 selaras dengan peralihan kerajaan kepada pendigitalan perkhidmatan iaitu Kerajaan Berteknologi Termaju (GovTech) di bawah anjakan utama Industri Berasaskan Teknologi dan Digital.

Perdana Menteri memaklumkan Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) yang membolehkan permohonan dibuat oleh rakyat secara terus dalam talian menyaksikan sebanyak 3,776 permohonan IKR diterima sehingga 31 Ogos lepas.

Artikel Berkaitan:

Bagi memperkemas jentera perkhidmatan awam, beliau berkata, Pasukan Petugas Khas Reformasi Sektor Awam (STAR) ditubuhkan bagi membantu menyelesaikan urusan tertangguh dan menyegerakan pelaksanaan projek serta penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, STAR berjaya melaksanakan projek rintis mengurangkan kesesakan serta tempoh menunggu pesakit di Zon Hijau Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor dan akan diperluas kepada hospital lain.

"Selain itu, tempoh kelulusan pas ekspatriat dikurangkan daripada 87 hari kepada hanya lima hari untuk syarikat yang memenuhi kriteria, manakala kaedah pembayaran tanpa tunai bagi menangani rasuah akan diperluas,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, kerajaan terus menyasarkan Malaysia untuk menduduki tangga ke-20 teratas dalam Subindeks Kecekapan Kerajaan dalam Institute for Management Development (IMD) World Competitiveness Yearbook pada akhir tempoh RMK12.

Beliau meminta jentera kerajaan yang disifatkan sebagai enjin utama negara untuk meningkatkan kecekapan penyampaian, sementara segala isu melibatkan tatakelola serta koordinasi diselesaikan dengan segera.

Selain itu, Perdana Menteri turut memaklumkan Aplikasi MYJalan yang baru diluncurkan bagi memudahkan rakyat untuk membuat aduan mengenai kerosakan jalan kepada kerajaan, telah menerima lebih 1,000 aduan, setakat hari ini.

Beliau menyifatkan ia merupakan petanda yang positif bahawa keterlibatan rakyat secara proaktif dalam penggemblengan tenaga bersama kerajaan akan menghasilkan jaringan jalan raya yang lebih selamat dan bermutu. - Bermutu