Amira Aisya dipindah ke blok PN - Speaker DUN Johor

Amir Aisya ditempatkan sebaris di blok pengimbang PN pada Persidangan DUN Johor, bermula Khamis ini.
Amir Aisya ditempatkan sebaris di blok pengimbang PN pada Persidangan DUN Johor, bermula Khamis ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz dari Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) akan ditempatkan sebaris di blok pengimbang Perikatan Nasional (PN) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, bermula Khamis ini.

Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, keputusan itu berdasarkan kenyataan media dikeluarkan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Selain itu, ia dibuat berdasarkan surat pemakluman oleh Ketua Pengimbang Johor, Chen Kah Eng.

"Dimaklumkan berdasarkan kenyataan media dikeluarkan Presiden Muda dan surat pemakluman oleh Ketua Pengimbang Johor, Chen Keh Eng (Stulang), tempat duduk ADUN Puteri Wangsa, Amira Aisya Abd Aziz akan dipindahkan sebaris dengan blok pengimbang PN," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Puad yang juga ADUN Rengit memberitahu, sidang kedua DUN Johor ke-15 bagi masyurat ketiga penggal bermula pada Khamis ini akan menyaksikan Majlis Angkat Sumpah ADUN Simpang Jeram, Nazri Abdul Rahman.

Pada Ahad, Muda memaklumkan akan bertindak sebagai pembangkang kuasa ketiga sekali gus menarik sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan.

Seterusnya pada Isnin, Ketua Pengimbang Johor, Chen Kah Eng berkata, Muda tidak lagi berada dalam blok pengimbang PH di Johor selepas memutuskan kerjasama dan keluar daripada gabungan politik itu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac tahun lalu, Barisan Nasional (BN) meraih kemenangan dua pertiga selepas memperoleh 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Artikel Berkaitan:

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi 13 kerusi iaitu DAP (10) dan masing-masing satu kerusi bagi Parti Amanah Negara, Parti Keadilan Rakyat serta Muda.

Perikatan Nasional pula memenangi tiga kerusi iaitu dua kerusi diperoleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) manakala satu kerusi dimenangi Pas.