SPRM tahan penjawat awam disyaki terima kenderaan sebagai rasuah

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang pembantu tadbir kanan yang disyaki menerima sebuah kenderaan sebagai balasan bagi memastikan kerja pembekalan bernilai RM230,000 di agensinya diperoleh sebuah syarikat sejak 2017.

Menurut sumber SPRM, selain pembantu tadbir kanan di sebuah agensi Kerajaan Tempatan Negeri Terengganu itu, seorang pemilik syarikat turut ditahan bagi membantu siasatan kes suapan dalam bentuk pemberian kenderaan bernilai RM90,000 itu.

Sumber itu memaklumkan, kedua-dua suspek lelaki berusia dalam lingkungan 50-an itu, ditahan ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman kira-kira jam 3 petang tadi.

"Suspek dikatakan telah lama menggunakan kenderaan terbabit sejak 2016.

"Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kemaman esok, bagi mendapatkan perintah permohonan reman,” kata sumber itu di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. - Bernama

Artikel Berkaitan: