Sajak kemerdekaan terpanjang terima pengiktirafan MBOR

Supian (dua dari kiri) dan Mohd Daud (tiga dari kanan) menerima sijil pengiktirafan itu daripada MBOR di KV Kuala Selangor, Bestari Jaya di sini pada Ahad.
Supian (dua dari kiri) dan Mohd Daud (tiga dari kanan) menerima sijil pengiktirafan itu daripada MBOR di KV Kuala Selangor, Bestari Jaya di sini pada Ahad.
A
A
A

KUALA SELANGOR - [DIKEMAS KINI] Kolej Vokasional (KV) Kuala Selangor mencipta sejarah apabila mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) selepas mencipta 157 rangkap sajak kemerdekaan terpanjang di negara ini.

Sajak kemerdekaan bertema semangat patriotik dan cinta negara yang bertajuk 'Patriotik Malaysia' itu dideklamasi oleh kira-kira 50 pensyarah dan pelajar selama kira-kira satu jam 30 minit.

Pengarah KV Kuala Selangor, Mohd Daud Ismail berkata, idea itu tercetus sejak Mei lalu bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan dan bersempena Hari Terbuka kolej itu pada tahun ini.

"Sajak khas itu dicipta hasil karya 50 warga kerja KV Kuala Selangor terdiri daripada pensyarah dan pelajar Tahun Satu serta Dua Sijil Vokasional Malaysia (SVM)," katanya ketika ditemui selepas menerima sijil pengiktirafan itu di KV Kuala Selangor, Bestari Jaya di sini, pada Ahad.

Sijil itu diserahkan wakil MBOR, Siti Nurhanim Mohd Noh dengan turut disaksikan Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Kejurulatihan dan Hubungan Industri Bahagian Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Supian Mahmood.

Mohd Daud berkata, objektif utama program itu diadakan bertujuan menghidupkan lagi rasa cintakan Malaysia dan mencungkil bakat dalam penulisan karya kreatif.

Menurut beliau, pihaknya bersyukur usaha jitu selama tiga bulan itu membuahkan hasil biarpun berdepan cuaca tidak menentu dan pelbagai aktiviti luar.

Sementara itu, Supian berkata, inisiatif berkenaan amat digalakkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebagai nilai tambah bagi KV sedia ada di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Selain memfokuskan faktor pembangunan inovasi, usaha lain terutama menyemarakkan ssmangat patriotik dan perpaduan turut boleh dilaksanakan.

"Keadaan ini membuktikan bahawa warga KV bukan saja menyumbang kepada pendidikan, malah melahirkan generasi modal insan berguna pada masa depan," tambah beliau.