Penganjuran sukan kanak-kanak catat Malaysia Book of Records

AKE menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records melalui penganjuran AKE Sports Carnival 2023 sambil disaksikan oleh Adam Adli (tiga dari kanan). - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
AKE menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records melalui penganjuran AKE Sports Carnival 2023 sambil disaksikan oleh Adam Adli (tiga dari kanan). - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tadika kanak-kanak terkenal, Al Kauthar Eduqids (AKE) mencipta Malaysia Book of Records buat kali ketiga berturut-turut melalui penganjuran AKE Sports Carnival 2023.

Rekod di bawah kategori Perhimpunan Sukan Kanak-Kanak Terbesar di Malaysia itu telah menerima sebanyak 4,439 penyertaan daripada kanak-kanak berusia satu hingga enam tahun.

Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Operasi AKE, Datin Dr Nor Fadilah Alias, dengan penyertaan tersebut ia sekali gus memecahkan rekod tahun lepas iaitu seramai 3,245.

Tambah beliau, majlis yang berlangsung selama dua hari bermula pada 17 Jun di 99 Wonderland Park itu memerlukan perbelanjaan lebih RM500,000.

Kanak-kanak cukup seronok ketika terlibat dalam permainan sukaneka sempena AKE Sports Carnival 2023. - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Kanak-kanak cukup seronok ketika terlibat dalam permainan sukaneka sempena AKE Sports Carnival 2023. - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

“Alhamdulillah ia berjalan dengan lancar. Selama dua hari kami jalankan program ini, ibu bapa juga sangat gembira dan beri sokongan yang baik.

“Objektif kita adalah memberikan yang terbaik untuk anak-anak dan ibu bapa. Kita raikan mereka dan ini hari mereka. Ibu bapa tak perlu keluar duit. Kita keluarkan duit sendiri.

“Kita pilih tempat ini untuk membantu perkembangan anak-anak. Jadi kita pilih tempat ini supaya anak-anak rasai suasana selain di atas padang,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan sijil Malaysia Book of Records di sini pada Ahad.

Kanak-kanak digalakkan untuk menyertai lebih banyak acara sukan dan permainan seperti yang dianjurkan sempena AKE Sports Carnival 2023. - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH
Kanak-kanak digalakkan untuk menyertai lebih banyak acara sukan dan permainan seperti yang dianjurkan sempena AKE Sports Carnival 2023. - Foto MOHD RAFIQ REDZUAN HAMZAH

Karnival tersebut dirasmikan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim.

Pengalaman baharu

Menurut Dr Nor Fadilah, karnival sukan itu diadakan bertujuan memberikan pengalaman baharu untuk kanak-kanak merasai keseronokan yang bersesuaian dengan usia.

Tambahnya, karnival sukan itu turut memberi peluang kepada kanak-kanak menyemai semangat berpasukan, nilai persahabatan dan menghargai kemahiran diri.

Dr Nor Fadilah
Dr Nor Fadilah

“Sukan dan permainan berperanan besar dalam perkembangan fizikal kanak-kanak. Oleh itu, adalah sangat penting untuk melibatkan sukan dan permainan dalam akademik setiap kanak-kanak di peringkat prasekolah,” ujarnya.

Beliau berkata, lebih menarik lagi adalah karnival itu turut melibatkan kanak-kanak berkeperluan khas terdiri daripada autisme, kelewatan pertuturan, disleksia, kelewatan perkembangan (GDD) dan lain-lain.

“Penglibatan kanak-kanak istimewa ini berupaya merangsang dan mengembangkan potensi diri dengan aktiviti berkaitan pendidikan dan perkembangan kanak-kanak itu sendiri,” kata Dr Nor Fadilah.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah AKE, Datuk Dr Bakhtiar Aliff Ibrahim berkata, penganugerahan Malaysia Book of Records itu adalah bukti bahawa AKE komited dalam memberikan yang terbaik kepada kanak-kanak.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam penganjuran acara ini termasuk pengusaha, ibu bapa, guru dan anak-anak.

Dr Bakhtiar
Dr Bakhtiar

“Acara seperti ini dapat merapatkan ukhuwah dan silaturahim serta memberi impak positif dalam pendidikan awal kanak-kanak,” katanya.

Tambahnya lagi, karnival tersebut turut dibantu oleh Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Universiti Selangor (Unisel).

“Mereka telah menghantar 30 pelajar Unisel bagi membantu kami. Terima kasih Unisel,” katanya.

Sasaran 500 cawangan

Bagi perancangan AKE pada masa hadapan, pihaknya menyasarkan sebanyak 500 cawangan tadika dibangunkan dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Jelasnya, sehingga kini, sebanyak 200 cawangan telah dibangunkan di seluruh negara dengan menawarkan pelbagai program kepada kanak-kanak.

“Kami menyasarkan lebih banyak tadika ditubuhkan untuk tiga tahun akan datang,” ujarnya.

Dr Bakhtiar berkata, dengan penambahan cawangan ia dapat melahirkan lebih ramai usahawan di bawah AKE.

“Kita berusaha kembangkan cawangan dengan matlamat agar guru-guru yang berpengalaman mampu memberi bimbingan dan melahirkan lebih ramai usahawan,” ujarnya.

Baru-baru ini AKE telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Universiti Sains Malaysia (USM).

MoU tersebut bertujuan melatih lebih ramai kanak-kanak untuk meningkatkan psikologi, pertuturan dan perkembangan sosial.

Kata Dr Bakhtiar, kerjasama itu membolehkan kira-kira 600 guru tadika mendapat manfaat daripada pertukaran pengetahuan, latihan berorientasikan perkhidmatan serta forum awam.

“Itu adalah salah satu cara kami untuk tambah baik kualiti servis kepada masyarakat,” ujarnya.

MENGENAI AKE

• Tadika yang beroperasi pada 2013 ini menawarkan program pra sekolah untuk kanak-kanak empat hingga enam tahun, pramenghafaz al-Quran, program khidmat montessori, sekolah permainan kanak-kanak untuk satu hingga tiga tahun, program pendahuluan bayi, kelas Mandarin, Program Kemajuan Islam (KAFA) dan program keperluan khas untuk kanak-kanak berumur dua hingga 12 tahun.

• Program dan aktiviti pembelajaran pendekatan tematik AKE menggunakan tiga bahasa. Bahasa Inggeris dan Melayu sebagai medium komunikasi utama sementara Arab dan Mandarin sebagai bahasa tambahan.

• AKE mempunyai rangkaian untuk anak-anak berkeperluan khas seperti kelewatan bercakap, kelewatan perkembangan, autisme, Sindrom Kurang Daya Tumpuan Hiperaktif (ADHD), sindrom kelewatan pembangunan global (GDD), disleksia dan sebagainya.