Pameran Hadiah Malaysia MGPA diiktiraf Malaysia Book of Records

Salahuddin (tengah) ketika Majlis Perasmian Pameran Hadiah Malaysia Edisi Ke-13 2023 di sini pada Selasa.
Salahuddin (tengah) ketika Majlis Perasmian Pameran Hadiah Malaysia Edisi Ke-13 2023 di sini pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pameran Hadiah Malaysia anjuran Persatuan Hadiah dan Cenderamata Malaysia (MGPA) mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Books of Record (MBOR) sebagai pameran hadiah terbesar di Malaysia.

Presidennya, Peh Leong Seng berkata, sebanyak 131 syarikat dari Malaysia, Singapura, Hong Kong, Taiwan, Korea Selatan, India dan United Kingdom menyertai acara tiga hari bermula Selasa yang turut disokong oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

"Prestasi cemerlang ini menjadi bukti kepada sokongan teguh, usaha gigih dan kesungguhan semua pihak yang telah menyumbang kepada pencapaian luar biasa ini selama 13 tahun.

"Kita menekankan peranan penting industri hadiah dalam mempromosikan jenama Buatan Malaysia. Malah industri hadiah ini juga mampu menyokong artis dan pengilang tempatan serta memaparkan warisan budaya dan kecekapan Malaysia melalui hadiah yang bermakna.

"Sokongan MGPA terhadap industri hadiah merangsang pengeluaran dan penggunaan produk tempatan selain menggalakkan perdagangan domestik serta memperkasakan perniagaan tempatan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Pameran Hadiah Malaysia Edisi Ke-13 2023 pada Selasa.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan dihadiri Pengerusi Penganjur Pameran Hadiah Malaysia ke-13, Albert Choong.

Dalam pada itu, Albert berkata, pihaknya juga menganjurkan bengkel di Pameran Hadiah Malaysia pada kali ini di mana peserta berpeluang untuk menerokai kreativiti mereka sambil menyumbang kepada golongan memerlukan.

Ujarnya, semua hasil daripada bengkel tersebut akan digunakan untuk mengumpul dana bagi kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Sementara itu, Salahuddin berkata, pihaknya berhasrat untuk memposisikan Malaysia sebagai pusat global bagi industri hadiah selain menarik pembeli dan pelabur antarabangsa.

Justeru, beliau menggesa MGPA untuk terus memperjuangkan pertumbuhan industri hadiah dan membina hubungan perdagangan domestik serta antarabangsa yang lebih kukuh.

Acara itu menampilkan pelbagai jenis produk baharu antaranya cenderahati, hadiah rekaan khas, pakaian, peralatan & tekstil, trofi, lencana, beg, seramik, elektronik dan perkhidmatan mesin & cetakan.

Pameran yang bermula 20 hingga 22 Jun 2023 berkenaan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.