Sarjan didakwa kes khalwat bakal berdepan tindakan disiplin

Hussein (tengah) ketika melakukan gimik melupuskan barang kes di IPD Sepang pada Rabu.
Hussein (tengah) ketika melakukan gimik melupuskan barang kes di IPD Sepang pada Rabu.
A
A
A

SEPANG - Anggota polis berpangkat sarjan di sebuah ibu pejabat polis daerah di negeri ini didakwa terbabit dalam kes khalwat akan dikenakan tindakan disiplin, jika didapati bersalah.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya dalam proses melengkapkan siasatan berhubung kes anggota terbabit.

"Mana-mana pegawai atau anggota yang didapati melakukan sesuatu perkara yang boleh mencemarkan imej Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan diambil tindakan di bawah peraturan-peraturan perlakuan penjawat awam.

"Tindakan sama ada diturunkan pangkat, dibuang kerja dan dipertimbangkan untuk ditukarkan ke bahagian ataupun ke IPD lain," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis pelupusan barang kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang pada Rabu.

Dalam pada itu, Hussein berkata, siasatan lanjut juga sedang dijalankan berhubung kes terbabit secara telus dan adil kerana ia turut melibatkan seorang individu lain.

“Polis telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui laporan dibuat anggota itu sendiri yang mendakwa beliau difitnah oleh individu lain," katanya.

Pada 25 Ogos lalu, tular video dakwaan salah laku melibatkan seorang anggota polis kononnya telah ditangkap berkhalwat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sebuah kondominium.

Dalam perkembangan berasingan, Hussien berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang melupuskan pelbagai barang kes Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ) bagi tempoh 2019 hingga 2023 dianggarkan bernilai RM 216,318.16, di sini pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

"Barang kes yang dilupuskan membabitkan masing-masing tiga kes rampasan minuman keras dan rokok serta dua kes rampasan membabitkan mesin bitcoin.

Beliau berkata, enam daripada lapan kes telah dituduh di mahkamah manakala dua kes mendapat keputusan tiada tindakan lanjut (NFA) oleh Timbalan Pendakwa Raya Negeri.

"Arahan pelupusan telah diperolehi daripada Majistret Mahkamah Sepang, Muhammad Bukhori Md Ruslan di bawah Seksyen 406A Kanun Prosedur Jenayah.

"Pelupusan dilakukan oleh syarikat dilantik yang mendapat pengiktirafan daripada Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007.

"Syarikat yang dilantik menerima pensijilan dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara, Kementerian, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk melakukan pelupusan," katanya.