Kutipan kompaun ceroboh tanah di Pahang cecah hampir RM3 juta

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN - Kutipan kompaun oleh Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) yang menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti pencerobohan haram termasuk lombong, tanah dan hutan di negeri ini mencecah hampir RM3 juta sejak 2022.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, setakat Ogos lepas sebanyak 96 kes telah dibanteras melibatkan sitaan jentera dan ekshibit sebanyak 229 buah dengan kutipan kompaun sebanyak RM1.4 juta

Bagi tahun lepas, beliau berkata RM1.5 juta kutipan kompaun direkodkan dengan UPNP mencatatkan tindakan penguatkuasaan sebanyak 133 kes melibatkan sitaan jentera dan ekshibit sebanyak 177 buah.

"Kerajaan Negeri Pahang menekankan pendakwaan dijalankan bagi semua kesalahan sebagai pengajaran dan contoh supaya tidak ada pihak sewenangnya menceroboh tanah kerajaan di negeri ini," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Shafik Fauzan Sharif (BN-Inderapura) yang ingin tahu kejayaan UPNP dalam pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan di Pahang.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, keberhasilan penguatkuasaan yang dijalankan oleh UPNP tidak boleh dinilai daripada kutipan kompaun sahaja, tetapi ditafsirkan secara tidak langsung dengan peningkatan hasil di Pejabat Daerah dan Tanah serta anak syarikat negeri.

Sebagai contoh, beliau berkata sejak 2021, sebanyak 36 kes perlombongan emas haram di sekitar Lipis telah berjaya dibanteras dan secara tidak langsung menggesa kepada kelulusan Skim Pelombongan Kecil Mukim Kechau, Lipis pada 2022 yang memberikan royalti mineral kepada kerajaan negeri sebanyak RM1.2 juta setakat Ogos ini. - Bernama.

Artikel Berkaitan: