458,335 penerima STR di Pahang, libatkan RM384.9 juta

Ahmad Maslan
Ahmad Maslan
A
A
A

KUANTAN - Seramai 458,335 orang di Pahang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) tahun ini melibatkan peruntukan sebanyak RM384.9 juta, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Beliau berkata, bagi pemberian Sumbangan Asas Rahmah (Sara) iaitu sumbangan tambahan RM600 kepada penerima STR dalam kategori miskin tegar di negeri itu pula, melibatkan 8,033 penerima dengan jumlah RM4.8 juta.

"STR ini bukan hanya (bantuan) kepada penerima yang merupakan tujuan utama (ia diberikan), tetapi juga membantu mengembangkan ekonomi setempat menerusi kesan gandaan setiap ringgit yang dibelanjakan.

"STR dan Sara adalah sumbangan daripada belanjawan tahunan kepada negeri. Kita bukan banyak memberikan bantuan untuk pembangunan, tetapi juga memberikan bantuan kepada rakyat atas pelbagai nama," katanya.

Ahmad berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Jelajah Belanjawan 2024 Pahang di sini hari ini, yang turut dihadiri Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohamad Nizar Mohamad Najib.

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata, antara isu yang kerap dibangkitkan pada Jelajah Belanjawan 2024 ialah berkaitan kos sara hidup, keterjaminan makanan, peluang perniagaan, pembangunan prasarana, kesihatan, pendidikan, wanita dan belia serta pendigitalan.

Selain Pahang, program jelajah itu telah berlangsung di Melaka, Johor serta Pulau Pinang dan akan diteruskan ke negeri lain termasuk Sabah pada Rabu ini.

"Kementerian Kewangan juga akan mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai kumpulan tumpuan seperti pendidikan, perniagaan, teknologi baharu, pelancongan, pembuatan dan industri serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk mendapatkan sebanyak mungkin pandangan," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: