Lesen pengusaha bot nelayan boleh digantung

Mohd Ghazali (kanan) mengiringi Mohammad Zahir menyampaikan insentif Jabatan Perikanan kepada Wong Guo Cheng yang mewakili enam peserta di Perak bagi projek penggantian induk ikan.
Mohd Ghazali (kanan) mengiringi Mohammad Zahir menyampaikan insentif Jabatan Perikanan kepada Wong Guo Cheng yang mewakili enam peserta di Perak bagi projek penggantian induk ikan.
A
A
A

TAIPING - Tindakan gantung lesen boleh dikenakan ke atas pengusaha bot nelayan tempatan yang bersekongkol dengan warga asing dalam isu pengendalian bot haram di perairan negeri ini.

Pengarah Perikanan Perak, Mohd Ghazali A Manap berkata, isu berkenaan dianggap serius berdasarkan beberapa kes yang dilaporkan sebelum ini.

"Ini satu isu yang serius kerana sebenarnya lesen yang diberikan, contoh untuk usaha sendiri maka pemilik sendiri yang perlu mengusahakannya.

"Tetapi jika bot tempatan itu diberikan kepada warga asing, dalam hal ini sekiranya berjaya ditangkap, tindakan tegas termasuk lesen akan digantung dikenakan ke atas pemilik tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas ancaman warga asing yang mengendalikan bot tempatan bagi aktiviti tangkapan ikan di laut seperti yang didakwa berlaku di sekitar perairan Bagan Datuk.

Sinar Harian pada Julai lepas melaporkan keluhan hampir 100 nelayan tempatan yang mendakwa bot yang sepatutnya dilupuskan diberikan kepada kepada warga asing untuk digunakan merompak hasil laut negara tanpa mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

Kumpulan nelayan itu dikatakan melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tarik di pesisiran pantai selain penggunaan bubu naga yang mengancam sumber laut.

Bukan itu sahaja, nelayan tempatan turut mendakwa berdepan kerugian akibat jaring serta peralatan menangkap ikan yang dirosakkan oleh nelayan asing.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohd Ghazali berkata, tindakan penguatkuasaan di laut membabitkan aktiviti nelayan adalah di bawah bidang kuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Bagaimanapun katanya, jabatan sentiasa melakukan rondaan secara berkala bagi tujuan pemantauan di laut.

"Dari semasa ke semasa kita juga sentiasa lakukan sesi libat urus bersama nelayan-nelayan tempatan dengan memberi peringatan agar mereka ini mematuhi peraturan ditetapkan bagi elak dikenakan tindakan," katanya.

Mohd Ghazali sebelum itu ditemui dalam program Kesedaran Pematuhan Pensijilan MyGAP dan Taklimat Penggunaan Sistem eKanMas peringkat negeri di sini pada Selasa.

Program berkenaan dirasmikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan turut dihadiri Ketua Cawangan Standard Perkhidmatan Makmal, Bahagian Biosekuriti Perikanan Malaysia, Roslan Abu Hasan.