Bot haram warga asing ancam nelayan Bagan Datuk

Tinjauan Sinar Harian mendapati bot nelayan tidak berdaftar kendalian warga asing berleluasa menjalankan aktiviti perikanan di perairan Bagan Datuk.
Tinjauan Sinar Harian mendapati bot nelayan tidak berdaftar kendalian warga asing berleluasa menjalankan aktiviti perikanan di perairan Bagan Datuk.
A
A
A

BAGAN DATUK - Kira-kira 100 nelayan tempatan di sekitar perairan Bagan Datuk di sini diancam kehadiran bot nelayan dipercayai tidak berdaftar yang dikendalikan warga asing secara berleluasa.

Bot nelayan yang sepatutnya dilupuskan itu diberikan kepada kepada warga asing untuk digunakan merompak hasil laut negara tanpa mengikut peraturan ditetapkan pihak berkuasa apabila melakukan aktiviti perikanan menggunakan pukat tarik di pesisiran pantai selain penggunaan bubu naga yang mengancam sumber laut.

Bukan itu sahaja, nelayan tempatan turut berdepan kerugian akibat jaring serta peralatan menangkap ikan yang dirosakkan oleh nelayan asing.

Seorang nelayan, Shahbudin Ahmad, 73, berkata, kehadiran nelayan warga asing itu menyekat peluang warga tempatan khususnya nelayan kecil untuk mencari rezeki.

"Sudahlah ambil hasil bumi kita, warga asing ini langsung tidak menghormati nelayan tempatan. Mereka kaut dari ikan dewasa hinggalah benih ikan sampaikan dah berkurang ikan di perairan ini. Sudah beberapa kali juga pukat nelayan tempatan dirosakkan akibat aktiviti warga asing ini.

SHAHBUDIN
SHAHBUDIN

"Dulu hasil nelayan tak seteruk sekarang. Kalau dulu sekurang-kurangnya sehari keluar dapat juga dalam RM200 tapi sekarang kadang-kadang duit minyak pun tak lepas," katanya yang sudah hampir 30 tahun menjadi nelayan di Sungai Nipah Baroh, di sini.

Seorang lagi nelayan, Jamil Mat Hussin, 54, mengakui kehadiran nelayan warga asing yang semakin bertambah itu bukan sahaja mengancam sumber pendapatan nelayan tempatan tetapi juga keselamatan penduduk.

Menurutnya, aktiviti perikanan warga asing berkenaan bersilih ganti siang dan malam tanpa menghiraukan kehadiran nelayan tempatan yang mencari rezeki di sepanjang perairan Bagan Datuk sehingga perairan Sungai Tiang, di sini.

Jamil menunjukkan jaring nelayan tempatan yang dirosakkan oleh warga asing di perairan Bagan Datuk.
Jamil menunjukkan jaring nelayan tempatan yang dirosakkan oleh warga asing di perairan Bagan Datuk.

"Kita hairan bagaimana mereka dapat bot dan sampan untuk menangkap ikan. Begitu juga dengan minyak yang digunakan untuk enjin bot kerana kesemua jeti nelayan berhampiran hanya menyediakan minyak diesel bersubsidi untuk kegunaan nelayan tempatan.

"Keadaan ini seolah-olah tiada pemantauan daripada mana-mana pihak sehinggakan warga asing ini langsung tak takut dengan nelayan tempatan. Jika terus dibiarkan keadaan ini, nelayan tempatan pasti akan kehilangan sumber pendapatan," katanya.

Bagi Kadir Mokhtar, 60, pula, kebanyakan nelayan sudah putus asa untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana tidak memberikan sebarang kesan atau tindakan terhadap warga asing berkenaan.

Menurutnya, setiap kali aduan atau laporan dibuat, nelayan asing terbabit sempat melarikan diri seolah-olah sudah mengetahui kehadiran pihak berkuasa dan ketika pihak berkuasa tiba mereka hanya memeriksa nelayan tempatan yang masih berada di perairan.

Kadir menunjukkan peralatan yang dibuat oleh warga asing untuk merosakkan jaring nelayan tempatan.
Kadir menunjukkan peralatan yang dibuat oleh warga asing untuk merosakkan jaring nelayan tempatan.

"Kami sendiri pernah bertengkar dengan nelayan warga asing ini kerana mereka rosakkan jaring. Mereka langsung rasa tak bersalah sampai terpaksa cari majikan warga asing ini untuk tuntut ganti rugi.

"Kita tak mahu sampai ada nelayan tempatan yang ambil tindakan sendiri untuk mempertahankan hak sebagai warganegara demi mencari sesuap nasi," katanya.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan secara berterusan terhadap kehadiran nelayan warga asing ini kerana mereka boleh membahayakan penduduk tempatan memandangkan tidak diketahui sama ada kemasukan mereka ke negara ini secara sah atau sebaliknya.

Sementara itu, tinjauan Sinar Harian di sekitar perairan Bagan Datuk sehingga ke Sungai Tiang, di sini pada Ahad lalu mendapati kegiatan nelayan warga asing dengan bot dipercayai tidak berdaftar begitu ketara.

Seawal jam 9 pagi, tidak kurang 20 bot yang kebanyakannya kelas B beroperasi kira-kira 1 batu nautika daripada pantai berhampiran.

Ketika kami menghampiri salah satu bot berkenaan, tekong bot dipercayai warga asing tidak mengendahkan kehadiran bot nelayan tempatan sebaliknya meneruskan aktiviti perikanan menggunakan pukat tarik.

Menurut nelayan tempatan, kehadiran bot warga asing itu hampir setiap hari bermula sebelah pagi sehingga tengah malam melibatkan lebih 50 bot nelayan tidak berdaftar yang sepatutnya dilupuskan.

Malah keadaan itu juga menyebabkan kesesakan di jeti-jeti nelayan di Bagan Sungai Tiang, Bagan Sungai Burung dan Bagan Datuk akibat kemunculan bot yang terlalu banyak.

Nelayan dipercayai warga asing tidak menghiraukan kehadiran nelayan tempatan dengan meneruskan aktiviti perikanan menggunakan pukat tarik di perairan Bagan Datuk.
Nelayan dipercayai warga asing tidak menghiraukan kehadiran nelayan tempatan dengan meneruskan aktiviti perikanan menggunakan pukat tarik di perairan Bagan Datuk.

Dalam pada itu, Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun memandang serius isu berkenaan.

Malah menurutnya, penggunaan pukat tarik di kawasan pesisiran pantai bukan perkara yang baru terjadi sebaliknya sudah lama dilakukan oleh nelayan yang tidak bertanggungjawab ini.

Beliau berkata, perkara itu juga mendapat perhatian daripada Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Idris Shah ketika melawat Pulau Sembilan baru-baru ini.

"Kita sedang berusaha untuk membuat pembersihan (aktiviti menggunakan pukat tarik) melalui Jabatan Laut dan jabatan-jabatan yang berkaitan. Kita juga ada akta berkaitan dan sebagainya untuk mengambil tindakan.

"Satu kertas cadangan akan dibentangkan di dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri untuk kita membuat satu tindakan yang lebih proaktif dalam membendung penggunaan pukat-pukat yang tak seharusnya diguna pakai untuk penangkapan ikan yang dibenarkan melalui akta sedia," katanya.

Operasi Maritim Malaysia berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang dikendalikan 19 warga asing secara haram di perairan Bagan Datuk, di sini pada Isnin. - Foto Ihsan Maritim Malaysia
Operasi Maritim Malaysia berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang dikendalikan 19 warga asing secara haram di perairan Bagan Datuk, di sini pada Isnin. - Foto Ihsan Maritim Malaysia

Menerusi laporan media pada Selasa, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C yang dikendalikan 19 warga asing secara haram di perairan Bagan Datuk, di sini.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohd Hambali Ya’akup berkata, bot itu dikesan pada kedudukan 6.4 batu nautika barat Sungai Tiang, Bagan Datuk, pada sekitar pukul 1 tengah hari ketika bot peronda pasukan itu melakukan rondaan rutin di sekitar perairan Perak.

Mereka yang ditahan terdiri daripada tiga kru warga Thailand dan 16 kru warga Myanmar berumur lingkungan 21 hingga 52 tahun.

Kes terbabit disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran yang sah serta Akta Imigresen 1959/63 kerana memalsukan dokumen serta tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.