Penjaja warga asing monopoli gerai jalanan

Penjaja tempatan menyokong tindakan pihak berkuasa membanteras peniaga warga asing yang dilihat bebas menjalankan perniagaan.
Penjaja tempatan menyokong tindakan pihak berkuasa membanteras peniaga warga asing yang dilihat bebas menjalankan perniagaan.
A
A
A

APA Khabar Rakyat kali ini menyelami perasaan serta harapan peniaga dan penjaja tempatan yang berhadapan persaingan daripada peniaga warga asing di lokasi tumpuan ramai khususnya di sekitar Shah Alam, Selangor.

Berdasarkan aduan diterima, perkara itu bukan benda baharu, malah sudah lama bertapak di beberapa kawasan hingga menuntut perhatian kerajaan negeri dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.

Ikuti laporan wartawan, Mohd Azlim Zainury yang mendengar luahan peniaga dan penjaja di sekitar daerah ini selain mendapatkan pandangan daripada aktivis politik berhubung perkembangan tersebut. Golongan penjaja dan peniaga tempatan berharap tindakan segera dapat diambil terhadap pihak yang menyalahgunakan lesen perniagaan dengan memberikan lesen mereka kepada warga asing.

Rata-rata peniaga ditemui menyokong komitmen kerajaan dalam menyelesaikan isu itu, namun mereka mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) bertindak lebih tegas menangani isu berkenaan.

Menurut peniaga, Zulhairi Talib, 64, tindakan itu termasuk menyiasat sekiranya wujud unsur rasuah atau salah laku dalam proses pemberian lesen perniagaan serta sewaan tapak kepada warga asing.

“PBT perlu memastikan proses pemberian lesen adalah telus selain mengkaji punca berlaku pajakan lesen perniagaan oleh penjaja tempatan kepada warga asing.

“Sebagai contoh terdapat peniaga warga asing di Seksyen 16, Shah Alam dan kebanyakan mereka dilihat bebas menjalankan perniagaan,” katanya yang turut berniaga makanan di situ.

Zulhairi berkata, ia memberi kesan kepada peniaga tempatan dan PBT perlu memastikan isu berkaitan pemilikan lesen perniagaan diperketat kerana kehadiran peniaga warga asing menjejaskan peniaga tempatan.

Artikel Berkaitan:

Turut senada, Hasnah Abdul Razak, 63, yang mahukan tindakan menarik balik lesen perniagaan bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan.

“Perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana ada antara mereka bebas menjalankan perniagaan dan menjejaskan pendapatan peniaga tempatan,” katanya.

Sehubungan itu, peniaga makanan terbabit berharap pihak berkuasa membatalkan lesen penjaja tempatan yang memberikan lesen mereka kepada warga asing memandangkan perkara berkenaan sudah lama berlarutan.

Sementara itu, peniaga air minuman, M Norzaharin Atan, 25, pula berbeza pandangan apabila menyifatkan kebanjiran peniaga warga asing berpunca daripada sikap peniaga tempatan itu sendiri.

Menurutnya, sikap peniaga tempatan yang tidak bersungguh dalam menjalankan perniagaan menyebabkan warga asing mula mengambil kesempatan.

“Saya tidak bersetuju kalau ada pihak menyalahkan penjaja atau peniaga warga asing sepenuhnya walaupun memang menjadi kesalahan jika menjalankan perniagaan, apatah lagi tanpa lesen.

“Peniaga tempatan juga tidak konsisten apabila berniaga.

“Kalau perniagaan mereka terjejas bukan salah peniaga warga asing sepenuhnya,” katanya yang meniaga makanan dan minuma di Seksyen 25.

Namun tambahnya, perkembangan ini memerlukan komitmen pihak penguat kuasa dalam menangani kehadiran peniaga warga asing dan pajakan lesen perniagaan penjaja tempatan kepada warga asing.

Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak menyalahgunakan lesen perniagaan dengan menawarkannya kepada warga asing.
Tindakan tegas perlu diambil terhadap pihak menyalahgunakan lesen perniagaan dengan menawarkannya kepada warga asing.

Kuasa PBTSementara itu, Ketua Biro Undang-undang Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Khairul Naim Rafidi berkata, secara prinsipnya isu berkenaan berada di bawah bidang kuasa PBT.

Menurutnya, berdasarkan dasar, polisi serta undang-undang kecil, semua PBT di negeri ini tidak dibenarkan mempertimbangkan permohonan, mengeluarkan atau membenarkan pemilikan lesen atau permit berniaga atau menjaja kepada warga asing.

Namun katanya, terdapat dua keadaan yang mungkin berlaku iaitu warga asing berniaga tanpa lesen atau berniaga menggunakan lesen warga tempatan.

“Kebanjiran warga asing dalam aktiviti perdagangan dan perniagaan serta industri sebenarnya memberi kesan buruk dan tidak baik kepada peniaga warga tempatan,” ujarnya.

Justeru, terdapat beberapa langkah strategik yang boleh dilakukan bagi menangani keresahan warga tempatan dalam perkara ini.

“Pertama sekali, warga tempatan hendaklah sentiasa peka dan melaporkan sebarang kegiatan perniagaan warga asing kepada PBT.

“Keduanya pada hemat saya, persatuan peniaga dan badan bukan kerajaan (NGO) seharusnya membuat pemantauan dan menjadi 'mata-mata' PBT dengan terus melaporkan kegiatan yang menyalahi undang-undang ini,” katanya.

Beliau berkata, PBT juga harus mengambil tindakan tegas berdasarkan undang-undang sedia ada dengan membatalkan pemilikan lesen terhadap mana-mana pihak yang membenarkan warga asing menggunakan lesen mereka.

“Ketiga, koordinasi strategik antara PBT, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) juga patut dilakukan dengan lebih kerap untuk menyelesaikan aduan rakyat secara tuntas serta berkesan.

“Keempat, Ahli Majlis dilantik bagi sesuatu kawasan perlu melakukan tindakan dan pemantauan lebih efektif terhadap aktiviti perniagaan membabitkan warga tempatan dan asing,” tambahnya.