Tiga keluarga tragedi Iboi pulang ke rumah pilihan sendiri

Pejabat Daerah Baling bersama agensi-agensi teknikal seperti JPS, JKM dan SADA telah mengadakan pertemuan dengan kesemua 17 keluarga tragedi kepala air Kampung Iboi di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Baling pada Ahad lalu. - FOTO PEJABAT DAERAH BALING
Pejabat Daerah Baling bersama agensi-agensi teknikal seperti JPS, JKM dan SADA telah mengadakan pertemuan dengan kesemua 17 keluarga tragedi kepala air Kampung Iboi di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Baling pada Ahad lalu. - FOTO PEJABAT DAERAH BALING
A
A
A

BALING - Dakwaan mangsa tragedi kepala air Kampung Iboi terpaksa kembali ke rumah asal mereka disebabkan Kerajaan Negeri tidak lagi membayar sewa rumah yang mereka duduki sebagaimana yang dijanjikan tidak tepat.

Pegawai Daerah Baling, Datuk Mohd Shahadan Abdullah berkata, dua laporan media pada 31 Ogos lalu berkenaan perkara itu didapati tidak benar selepas Pejabat Daerah Baling bersama agensi-agensi berkaitan turun ke lapangan sebelum mengadakan pertemuan dengan kesemua 17 keluarga mangsa terlibat.

Menurutnya, tiga daripada lima keluarga di zon kuning sudah kembali ke rumah asal sejak Julai lalu atas pilihan mereka sendiri selepas mendapati keadaan rumah mereka telah selamat untuk diduduki semula.

"Hasil daripada kerja melebar dan mendalamkan sungai yang dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan Saliran (JPS), keadaan di lokasi kini tidak lagi membahayakan dan mereka yakin untuk kembali menetap di rumah asal dengan selamat.

"Dua lagi keluarga bagaimanapun memilih untuk terus menetap di rumah sewa yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri dan pembayaran sewa akan diteruskan sebagaimana biasa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Shahadan berkata, Pejabat Daerah Baling bersama agensi-agensi teknikal seperti JPS, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Syarikat Air Darulaman (SADA) telah mengadakan pertemuan dengan kesemua 17 keluarga tragedi kepala air Kampung Iboi di Bilik Gerakan Pejabat Daerah Baling pada Ahad lalu.

Jelasnya, lima keluarga terlibat akan diberi rumah ganti secara percuma dilengkapi kemudahan asas termasuk jalan dan longkang di satu kawasan yang telah ditetapkan di Kampung Bok Bak, tidak jauh dari kampung asal mereka.

"Proses pengambilan balik tanah untuk tapak rumah ganti telahpun selesai dan sekarang ini dalam proses pembinaan rumah yang diuruskan oleh Pejabat Pembangunan Negeri Kedah dan JKR," ujar beliau lagi.

Artikel Berkaitan:

Tragedi banjir puing di Kampung Iboi pada 4 Julai 2022 telah mengakibatkan 17 keluarga hilang tempat tinggal dan sebanyak 12 buah rumah musnah atau dihanyutkan arus banjir dikategorikan berada di zon merah atau zon musnah.

Kesemua 12 keluarga dari zon merah telah berpindah ke rumah ganti yang dibina oleh Kerajaan Negeri di Kampung Sadek, Kupang.

Penyerahan kunci rumah kepada mereka telah disempurnakan oleh Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 23 Jun lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!