MTCC'23 tarik 592 penyertaan seluruh negara

Razali (dua dari kiri) pada Majlis Sidang Media dan Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC) 2023 di Wisma Darul Iman, di sini pada Isnin.
Razali (dua dari kiri) pada Majlis Sidang Media dan Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC) 2023 di Wisma Darul Iman, di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Acara 'Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC'23)' di Taman Eko Rimba Lata Belatan, Besut yang diadakan pada 9 September ini bakal menarik 592 peserta dari seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris berkata, acara tersebut merupakan platform untuk mempromosikan pelbagai keindahan dan keunikan hutan lipur, air terjun serta gunung ganang yang ada di negeri itu.

Menurutnya, MTCC'23 adalah acara berkonsep perlumbaan gunung yang dihidupkan kembali bagi membawa elemen penghayatan alam semula jadi serta sukan dan pelancongan pengembaraan.

"Tiga kategori utama dipertandingkan termasuk Terbuka Lelaki dan Wanita (Cengal); Tertutup Terengganu Lelaki dan Wanita (Meranti) dan 'Fun Run' (Nyatuh) sejauh lima kilometer untuk peserta yang ingin merasai kemeriahan larian dalam suasana santai.

"Pelepasan yang melibatkan pelbagai kategori akan bermula jam 7.30 pagi. Peserta bagi kategori Cengal dan Meranti akan menempuhi laluan sejauh 18.5 kilometer selain akan melibatkan had masa tiba di puncak Gunung Tebu dalam tempoh lima jam sahaja.

"Hadiah wang tunai keseluruhan sebanyak RM19,300 menanti pemenang dengan rekod terpantas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sidang Media dan Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC) 2023 di Wisma Darul Iman, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Razali berkata, acara yang diadakan kali kedua oleh Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) itu juga melibatkan kerjasama kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, acara berkenaan akan memberi impak ekonomi pelancongan yang terus bermanfaat kepada penduduk dan industri pelancongan setempat di Besut antaranya hotel, rumah penginapan dan restoran.

"Ia dapat mempromosikan Gunung Tebu sebagai lokasi pendakian utama di Malaysia sekali gus merancakkan industri pelancongan berasaskan sukan di negeri ini," ujarnya.

Selain itu, Razali berkata, orang ramai yang ingin mendaki Gunung Tebu yang berketinggian 1,039 meter perlu mendapatkan permit memasuki Hutan Simpanan Kekal daripada Pejabat Perhutanan terlebih dahulu.

"Permohonan perlulah sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tarikh pendakian," jelasnya.