Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid

Ahmad Zahid Hamidi (depan, kanan).
Ahmad Zahid Hamidi (depan, kanan).
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Pihak pendakwaan bagi kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa mereka mahu menghentikan prosiding berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar berkata, ini akan memberi kesan kepada Timbalan Perdana Menteri itu dilepas tanpa dibebaskan atas semua pertuduhan (DNAA).

Menurutnya, pendakwaan mengemukakan 11 alasan untuk menghentikan prosiding antaranya dua Representasi yang dikemukakan tertuduh telah menyentuh isu siasatan sebelum, semasa dan selepas Ahmad Zahid dituduh di mahkamah.

Beliau berkata, ia dikatakan telah dibuat secara terburu-buru, cuai, pramatang dan tidak lengkap.

“Perkara ini menyebabkan reputasi dan nama baik Jabatan Peguam Negara selaku pihak pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selaku badan penyiasat tercemar dan dilihat melalui kaca mata umum seolah-olah kedua-dua jabatan ini ialah institusi undang-undang yang telah diperalatkan oleh pihak-pihak tertentu.

“Bagi tidak menafikan hak tertuduh atau lebih penting tiada salah laku di sisi undang-undang berlaku, kami percaya bahawa semua pertuduhan itu perlu diberhentikan buat masa ini,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, permohonan ini hanya memberikan kesan DNAA kepada Ahmad Zahid sehinggalah siasatan yang lebih menyeluruh dan lengkap selesai.

Mengulas lanjut, Mohd Dusuki berkata, mahkamah telah mengambil maklum berkenaan pengumuman Jemaah Menteri untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu-isu yang dibangkitkan dalam buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk 'My Story: Justice In the Wilderness'.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, perkara itu berhubung pendedahan yang dibuat berkaitan pertuduhan terhadap individu-individu tertentu.

“Tertuduh turut membangkitkan isu yang amat serius, iaitu beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih daripada rejim Kerajaan terdahulu.

“Peguam Negara berpendapat, amat penting untuk pihak pendakwaan dan SPRM melihat malah menyiasat dakwaan ini,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid membantah permohonan itu dan memohon agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan (DNA).

Bagaimanapun, selepas mahkamah menolak permohonan pasukan pembelaan, Hisyam berkata, mereka akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada Selasa.

Ahmad Zahid, 70, telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama telah dikemukakan pada Januari manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Prosiding dihentikan, sementara Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan berhubung permohonan tersebut dibuat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid hadir prosiding 47 kes rasuah, pecah amanah, AMLA

Pendakwaan mahu hentikan prosiding kes terhadap Ahmad Zahid

[VIDEO] Ahmad Zahid lepas tanpa bebas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, AMLA

'Saya bersyukur dilepas tanpa bebas' - Ahmad Zahid

Bazir masa mahkamah, wang rakyat - Hakim

Tidak wujud persepsi negatif sistem perlembagaan negara - Peguam

11 alasan pasukan pendakwaan mohon kes Ahmad Zahid dihentikan