[VIDEO] Ahmad Zahid lepas tanpa bebas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah, AMLA

A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu bahawa, Jabatan Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa semua kes terhadap Timbalan Perdana Menteri itu diberhentikan.

Semasa prosiding, Mohd Dusuki berkata, pihak pendakwaan menyatakan demikian berdasarkan 11 alasan, mengikut peruntukan 145 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, antara sebab itu ialah pada 29 Januari lalu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kepada AGC bahawa, siasatan lanjut hendaklah dibuat berhubung kes berkenaan.



Katanya, pemimpin UMNO ini turut membangkitkan isu yang amat serius iaitu beliau menjadi mangsa pendakwaan terpilih daripada rejim Kerajaan sebelum ini.

“Peguam Negara berpendapat, amat penting untuk pihak pendakwaan dan SPRM melihat dan turut menyiasat dakwaan ini.

“Bukan itu sahaja, tidak adil untuk menangguhkan perbicaraan kes itu ke satu tempoh yang tidak tentu maka kami mohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan,” katanya.

Sementara itu, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid membantah permohonan itu dan memohon agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan (DNA).

Bagaimanapun, Sequerah menolak permohonan pembelaan Ahmad Zahid ini dengan menyatakan, banyak masa mahkamah terbuang dan sejumlah besar wang pembayar cukai akan dibazirkan sekiranya pihak pendakwaan memutuskan tidak akan meneruskan pertuduhan.

Bagaimanapun, hakim ini berkata, Peguam Negara mempunyai kuasa untuk memulakan dan menarik balik pertuduhan pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:


Ahmad Zahid, 70, telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.

Surat representasi pertama telah dikemukakan pada Januari manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.