Agong, Permaisuri berangkat ke majlis santapan memperingati perwira Lahad Datu

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat ke majlis santapan petang bagi memperingati perwira Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang gugur dalam pertempuran di Lahad Datu, Sabah pada 2013.
Majlis santapan yang diadakan di Istana Negara bersempena sambutan Hari Kebangsaan itu dihadiri waris serta kira-kira 30 rakan seperjuangan kepada lapan anggota PDRM yang gugur mempertahankan kedaulatan negara daripada dicerobohi pengganas Sulu.
Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Seri Paduka berdua meluangkan hampir dua jam pada majlis itu serta mengurniakan sumbangan peribadi kepada waris atau wakil setiap keluarga yang hadir.