Raja Permaisuri Agong berkenan rasmi Poliklinik Primer Sejahtera UIAM

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menandatangani plak sebagai gimik Perasmian Poliklinik Primer Sejahtera (PoPS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Bandar Universiti Pagoh hari ini.
Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan menandatangani plak sebagai gimik Perasmian Poliklinik Primer Sejahtera (PoPS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Bandar Universiti Pagoh hari ini.
A
A
A

MUAR - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berangkat merasmikan Poliklinik Primer Sejahtera (PoPS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Bandar Universiti Pagoh di sini.

Raja Permaisuri Agong tiba di PoPS pada jam 11.50 pagi diiringi Presiden UIAM, Tan Sri Samsudin Osman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Dr Azmi Rohani dan Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian, Ahli Majlis Tadbir Yayasan Sime Darby (YSD), Puan Sri Normah Hashim dan Pegawai Daerah Muar, Hasrin Kamal Hashim.

Tunku Azizah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM, turut berkenan berangkat ke Dewan Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh (HPTP) bagi menyaksikan penyerahan replika cek bernilai RM1.8 juta bagi pembangunan PoPS Fasa 1 daripada pihak YSD yang diwakili Normah kepada pihak UIAM diwakili Samsudin.

Seri Paduka Baginda juga berkenan berangkat ke Majlis Santapan Tengah Hari sempena pelancaran PoPS dan berkenan meluangkan masa melawat reruai pameran di HPTP selain beramah mesra dengan pelajar Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan UIAM.

Dzulkifli dalam ucapan menjunjung kasih berkata, PoPS Fasa 1 bernilai RM1.8 juta yang telah mula beroperasi pada November tahun lepas itu, adalah hasil sumbangan dana daripada YSD bertujuan memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti kepada komuniti HPTP dan kawasan sekitar.

"lnsya-ALLAH dalam sedikit masa lagi, dengan kelulusan daripada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS), Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), keberadaan PoPS ini akan memberi manfaat penyediaan rawatan dan khidmat nasihat berkualiti kepada masyarakat sekali gus meningkatkan mutu kesihatan dan kesejahteraan komuniti Pagoh," katanya. - Bernama