Rayu sijil halal restoran diluluskan semula

Abdul Halim (dua dari kiri) bersama barisan chef restoran Raintree Cafe, Hotel Flemington bergambar kenangan dengan Mohd Fadhil (tengah) dan Khek Keng (dua dari kanan).
Abdul Halim (dua dari kiri) bersama barisan chef restoran Raintree Cafe, Hotel Flemington bergambar kenangan dengan Mohd Fadhil (tengah) dan Khek Keng (dua dari kanan).
A
A
A

TAIPING - Pengurusan restoran di tingkat bawah Hotel Flemington, di sini merayu Jabatan Agama Islam Negeri Perak (JAIPk) untuk mempertimbangkan semula kelulusan sijil pengesahan halal restoran itu yang sebelum ini ditarik balik jabatan itu pada 3 Januari lalu.

Eksekutif Sous Chef Raintree Cafe, Abdul Halim Abu Hassan berkata, rayuan itu dikemukakan pihaknya memandangkan Hotel Flemington sebenarnya memiliki dua restoran berlainan yang diuruskan entiti berasingan.

Menurutnya, sewaktu operasi bersepadu dijalankan JAIPk dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Taipng ke atas hotel itu, restoran diperiksa dan didapati menyediakan menu berasaskan daging babi sebenarnya merujuk satu lagi restoran makanan Cina bernama 'Hu Jinger' terdapat di situ.

"Ramai tidak mengetahui Hotel Flemington menyediakan dua restoran berasingan yang diuruskan oleh pihak berasingan.

"Selain dikelolakan oleh entiti pengurusan dapur berasingan, stok bekalan dan bahan mentah dibekalkan kepada kedua-dua restoran tersebut juga adalah dari pembekal berasingan.

"Tambahan pula di Raintree Cafe yang pernah menerima sijil pengesahan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM, kesemua kakitangan dan tukang masak adalah terdiri orang Islam sendiri," katanya kepada media pada Majlis Makan Malam Amal Berbuka Puasa anjuran Flemington Hotel di sini semalam.

Majlis dirasmikan ADUN Kamunting, Ir Dr Mohd Fadhil Nuruddin dan seramai 30 anak yatim dari Persatuan Kebajikan Anak Yatim Nur Hidayah, Kampung Cheh Bukit Gantang menerima sumbangan makanan dan duit raya dari pengarah hotel, Datuk Seri Lim Khek Keng.

Abdul Halim berkata, pihaknya kini dalam proses bagi mendapatkan semula sijil pengesahan halal JAKIM yang masih digantung ketika ini.

Artikel Berkaitan:

Mohd Fadhil (berdiri, empat dari kiri) dan Khek Keng (berdiri, tiga dari kiri) meraikan jamuan berbuka puasa anjuran Hotel Flemington bersama 30 anak yatim dari Persatuan Kebajikan Anak Yatim Nur Hidayah, Kampung Cheh Bukit Gantang semalam.
Mohd Fadhil (berdiri, empat dari kiri) dan Khek Keng (berdiri, tiga dari kiri) meraikan jamuan berbuka puasa anjuran Hotel Flemington bersama 30 anak yatim dari Persatuan Kebajikan Anak Yatim Nur Hidayah, Kampung Cheh Bukit Gantang semalam.

Menurutnya, meskipun sijil halal restoran diuruskannya masih tergantung, namun segala urusan penyediaan makanan di dapur secara praktikal tidak pernah membabitkan sumber makanan tidak halal.

"Selaku chef utama di restoran Raintree Cafe yang beragama Islam, saya memberi jaminan penyediaan makanan dari dapur kami adalah 100 peratus dari sumber halal.

"Saya turut berharap umat Islam tidak lagi ragu-ragu dengan status halal restoran ini dan bersedia memberikan kerjasama terbaik kepada JAIPk dan JAKIM untuk membolehkan sijil pengesahan halal diluluskan semula," katanya.

Abdul Halim berkata, sejurus sijil pengesahan halal restoran dikendalikannya ditarik balik, pada mulanya kadar kehadiran pelanggan beragama Islam ke restoran itu amat berkurangan.

Namun, sambutan pelanggan beragama Islam terhadap restoran itu kembali pulih setelah diberi penjelasan dan jaminan daripada pihaknya sendiri.

"Kami menyedari keperluan penyediaan sijil pengesahan halal dari JAKIM amat penting kerana isu status halal makanan dan minuman amat sensitif di kalangan orang Islam.

"Atas faktor itu, kami sekali lagi berharap JAIPk dapat mempertimbangkan semula permohonan sijil pengesahan halal dari restoran kami diluluskan semula bagi mengelakkan rasa ragu dalam kalangan pelanggan beragama Islam," katanya.

3 Januari lalu, sijil pengesahan halal restoran di Hotel Flemington ditarik balik untuk tindakan lanjut selepas didapati menyediakan menu berasaskan daging babi.

Perkara itu dikesan dalam Operasi bersepadu JAIPk dengan kerjasama KPDNHEP Taiping.

Hasil pemeriksaan mendapati hotel berkenaan telah melanggar syarat-syarat pensijilan halal di bawah Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Semakan Ketiga) 2014 menerusi perkara 4.8 (XV) iaitu permohonan yang tidak layak memohon ialah hotel yang mempunyai dapur menyediakan menu berasaskan babi.