Taman Industri Halal pertama di Perak

Saarani (tiga dari kiri) melihat pelan pembangunan Perak HIP sempena majlis pecah tanah di Lekir pada Isnin.
Saarani (tiga dari kiri) melihat pelan pembangunan Perak HIP sempena majlis pecah tanah di Lekir pada Isnin.
A
A
A

MANJUNG - Perak menerusi Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) membangunkan Taman Industri Halal Perak yang pertama di negeri ini.

Pembangunan startegik di kawasan berkeluasan 43 hektar dalam jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) di Lekir itu dilengkapi dengan pusat pemprosesan daging, kompleks penyembelihan dan pemprosesan, pusat penyelidikan dan pembangunan daging halal, pusat pemprosesan ayam dan kilang pemprosesan makanan haiwan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, projek Taman Industri Halal Perak atau (Perak HIP) itu bakal menjadi nadi ekonomi baharu terhadap pembangunan negeri dengan nilai pembangunan kasar (GDV) mencapai RM1 bilion.

Menurutnya, pelaksanaannya yang memberi fokus kepada daging halal merupakan satu langkah berani kerajaan negeri dalam memacu perkembangan industri halal yang semakin penting di peringkat antarabangsa.

"Pembangunan Perak HIP ini adalah kesinambungan daripada program lembu tempatan yang dilaksanakan PPPNP sejak 2022.

"Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan pengeluaran daging halal di Malaysia, memperkukuhkan rantai bekalan yang mapan dan berteraskan integriti, memberikan nilai tambah kepada pengeluaran daging serta untuk memperluaskan jangkauan produk halal Perak," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek Perak HIP di Lekir di sini pada Isnin yang turut dihadiri Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.

Artikel Berkaitan:

Saarani menyempurnakan majlis pecah tanah projek Perak HIP di Lekir pada Isnin.
Saarani menyempurnakan majlis pecah tanah projek Perak HIP di Lekir pada Isnin.

Perak HIP yang dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2025 dilaksanakan dalam tiga fasa dengan fasa pertama membabitkan kos RM100 juta merangkumi pembangunan infrastuktur.

Saarani berkata, pembangunan projek itu turut memberi peluang ekonomi besar dengan menyediakan 300 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat serta kontraktor-kontraktor G1 Bumiputera.

Katanya, peluang juga terbuka kepada syarikat-syarikat yang sedang mencari lokasi strategik, fasiliti canggih dan ekosistem yang menyokong pertumbuhan dan inovasi untuk mengambil bahagian dalam pembangunan projek tersebut.

"Perak HIP adalah contoh terbaik bagaimana negeri ini berusaha membangunkan industri halal kukuh dengan menyediakan kemudahan komprehensif dan infrastruktur yang menyokong pertumbuhan pesat dalam sektor ini.

"Saya yakin pembangunan ini mampu menjadi penanda aras baharu bagi memacu negeri menjadi Lembah Bakul Makanan Malaysia seperti digariskan sebagai antara 18 flagship pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030," katanya.

Dalam majlis sama turut diadakan penyerahan replika cek bernilai RM20 juta daripada Agrobank kepada PPPNP bagi membiayai peserta-peserta yang terlibat dalam Perak HIP.

Turut diadakan penyerahan surat sokongan bagi cadangan pembangunan antara Maybank Islamic Berhad dengan PPPNP serta spemeteraian memorandum usahasama dengan Perak Agro Farm Sdn Bhd, Ladang Lekir Sdn Bhd dan Eurofresh Sdn Bhd dalam pembangunan industri lembu tempatan.