Syor undang-undang khas penglibatan wanita dalam pentadbiran

Nurul Fadzilah
Nurul Fadzilah
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mewujudkan satu undang-undang khusus tentang penglibatan wanita dalam pentadbiran di peringkat persekutuan mahupun negeri bagi memastikan peranan golongan itu turut diambil kira.

Menurut Ketua Srikandi Muda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nurul Fadzilah Kamaludin, pendekatan itu perlu diambil segera supaya dapat menjayakan misi agenda pemerkasaan wanita.

“Saya tidak menafikan dalam konteks negara, kita masih lagi belum lagi mencapai sebanyak 30 peratus agenda pemerkasaan wanita.

“Sekiranya kita tidak mengambil satu pendekatan dalam mewujudkan undang-undang penglibatan wanita dalam pentabdiran, maka isu berkenaan akan terus dibicarakan seperti tiada titik noktah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Siri 410 yang bertajuk ‘66 Tahun Merdeka: Di Mana Kuasa Politik Wanita’ yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf di sini, pada Selasa.

Program itu dihoskan Herleena Pahlavy dan turut menampilkan tiga panelis lain iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim; Ketua Biro Guaman dan Undang-undang Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rabiatul Adawiyah Sulaiman dan Pengarah Strategik serta Pengurusan Risiko Muslimat Pas, Wan Hasrina Wan Hassan.

Dalam menyeimbangkan penglibatan golongan itu dalam pentadbiran, Nurul Fadzilah berkata, kerajaan Pusat dan negeri perlu melakukan lantikan khas ADUN sekiranya tiada wakil daripada kumpulan berkenaan.

Ujarnya, lantikan berkenaan perlu dilakukan untuk membawa suara wanita.

Artikel Berkaitan:

“Seterusnya, kerajaan juga perlu bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) seperti Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) supaya membantu pentadbiran dalam membuat sesuatu keputusan.

“Seterusnya, sesebuah parti perlu memainkan peranan sebagai contoh mengetengahkan calon wanita terbaik untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Nurul Fadzilah memberitahu bahawa Perikatan Nasional (PN) sama sekali tidak mengetepikan calon wanita untuk bertanding.

Katanya, perkara itu dapat dibuktikan menerusi pilihan raya negeri (PRN) enam negeri yang mana parti itu telah mengetengahkan seramai 19 orang calon wanita untuk bertanding.