Terap mesej tolak rasuah, muhibah melalui lukisan doodle

Lukisan doodle yang dihasilkan oleh lima pelukis akan dipamerkan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam. Gambar kecil: Amir
Lukisan doodle yang dihasilkan oleh lima pelukis akan dipamerkan di Kompleks Karangkraf, Shah Alam. Gambar kecil: Amir
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak hanya sekadar karya seni yang dilukiskan di atas lembaran sehelai kain kanvas, lukisan doodle yang dihasilkan menerapkan mesej tertentu untuk memupuk perasaan muhibah dan benci rasuah dalam kalangan masyarakat.

Presiden Persatuan Animasi Malaysia (Animas), Amir Hamzah berkata, lukisan tersebut turut memainkan peranan penting khususnya dalam menyatupadukan rakyat berbilang kaum menerusi seni yang dipersembahkan.

"Dari sudut konsep asas, Animas adalah persatuan seni visual dan kita selalu menyampaikan maklumat melalui animasi dan gambar statik.

"Kali ini kita berbesar hati untuk bersama pasukan Rasuah Busters dalam kempen #SaySomethingNice dengan menamakan doodle gergasi yang dihasilkan dengan nama sama.

"Menerusi karya ini, kita mahu mengajak masyarakat untuk kembali kepada asas iaitu berbudi bahasa, berkata baik dan pupuk sikap kerjasama bagi merapatkan perpaduan antara semua rakyat tanpa mengira kaum selain menolak amalan rasuah," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran kempen Rasuah Busters #SaySomethingNice pada Selasa.

Kempen yang mengangkat tema 'berpada-pada dan maju ke hadapan' itu disempurnakan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub dan akan bermula pada 31 Ogos sehingga 16 September depan.

Dalam pada itu Amir berkata, doodle gergasi Rasuah Busters yang akan dipamerkan di Kompleks Karangkraf merupakan representasi mesej kebangkitan rakyat Malaysia memerangi rasuah dari pelbagai sudut.

"Ia sebagai simbolik yang membawa mesej dalam lukisan dan orang ramai boleh melengkapkannya apabila berkunjung ke Kompleks Karangkraf nanti," ujarnya.

Artikel Berkaitan: