Pahang terima RM64 juta bayaran elaun imam, bilal, siak dan guru agama

Wan Rosdy (tiga dari kiri) menerima cek peruntukan bayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir, dan guru KAFA bagi tahun 2023 yang disampaikan Mohd Na'im dalam satu majlis di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Fb Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy (tiga dari kiri) menerima cek peruntukan bayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir, dan guru KAFA bagi tahun 2023 yang disampaikan Mohd Na'im dalam satu majlis di Kuala Lumpur pada Selasa. Foto Fb Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang menerima peruntukan sebanyak RM64.74 juta bagi bayaran elaun imam, bilal, siak, guru takmir, dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) bagi tahun 2023.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu diserahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Setia Dr Mohd Na'im Mokhtar pada Majlis Penyerahan Cek Cura Peruntukan Kerajaan Persekutuan Bagi Bayaran Elaun Imam, Bilal, Siak, Guru Takmir dan Guru KAFA Negeri Pahang Tahun 2023 di Kuala Lumpur pada Selasa.

Menurutnya, peruntukan tersebut merangkumi elaun imam (RM14,18 juta), elaun guru KAFA (RM40,29 juta) dan elaun guru takmir (RM5.67 juta).

"RM3.75 juta lagi bagi bayaran 'one-off' RM600 kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA manakala RM838,080 untuk caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," katanya melalui satu kenyataan di Facebooknya pada Selasa.

Wan Rosdy berkata, melalui peruntukan itu, diharapkan imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA terus bersemangat dan memberikan perkhidmatan dengan lebih baik untuk umat Islam di negeri ini.

Sementara itu, memetik laporan Pahang Media, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas peruntukan tersebut.

Menurutnya, kerajaan negeri turut mengutarakan beberapa perkara bagi memajukan masyarakat Orang Asli termasuk menambah penggerak Orang Asli.

“Saya juga minta agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertimbangkan kontrak 'off servis, for servis' kepada pegawai dan kakitangan di bawah jabatan itu yang berkhidmat di Pahang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menyatakan Pahang telah memberi persetujuan untuk bekerjasama dengan Jakim bagi memantapkan institusi pendidikan agama serta kontrak perkhidmatan bersama guru.

"Kita akan beri kerjasama yang baik dan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) akan uruskan perkara ini.

“Begitu juga dengan kontrak perkhidmatan bersama, kerajaan negeri bersetuju kerana kerjasama itu memberi banyak faedah dan kebaikan kepada kakitangan terlibat," jelasnya.

Tambah beliau, melalui kontrak perkhidmatan bersama itu, kakitangan terlibat boleh bertukar dan peluang kenaikan pangkat.