RM103.86 juta untuk imam, bilal dan guru agama di Kelantan

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan berjumlah kewangan RM103.86 juta khusus kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) di Kelantan tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu membabitkan Imam seramai 1,170 orang dengan jumlah peruntukan RM11.9 juta dan elaun guru takmir seramai 341 orang dengan jumlah sebanyak RM3.68 juta.

"Bayaran khas sebanyak RM600 secara 'one-off' diteruskan pada tahun ini kepada imam, bilal, siak dan guru takmir di Kelantan membabitkan seramai 2,605 penerima dengan peruntukan sebanyak RM1.56 juta.

"Manakala jumlah peruntukan elaun guru KAFA pula adalah sebanyak RM82.79 juta yang melibatkan seramai 5,470 orang," katanya ketika berucap pada Program Madani Ulama' dan Umara' Peringkat Negeri Kelantan 2023 di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, caruman kerajaan sebanyak RM232.80 seorang bagi Pakej Program Perlindungan di bawah Skim Pekerjaan Sendiri (SPS Lindung) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) juga diteruskan tahun ini kepada imam, bilal, siak dan guru takmir di Kelantan membabitkan seramai 2,605 orang dengan jumlah peruntukan RM606,444 setahun.

"Kerajaan juga secara jelas mahukan agensi Islam menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pengurusan dan tata kelola. Ini adalah cabaran yang mesti kita sahut bersama sama ada di peringkat persekutuan termasuk juga di peringkat negeri-negeri.

"Umpamanya dalam aspek pengurusan kewangan serta tata kelola pentadbiran hal ehwal Islam yang berintegriti perlu dititikberatkan oleh kita semua. Kita tidak mahu terlibat dalam sebarang salah laku," katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga melalui Yayasan Taqwa (MAIWP) telah menyalurkan Sumbangan Bantuan Musibah Negeri Kelantan yang mana sehingga kini sumbangan bantuan itu adalah sebanyak RM2.65 juta.

"Bagi bantuan bina baharu rumah kediaman sebanyak RM829,225, bantuan bagi baik pulih rumah kediaman sebanyak RM1.53 juta, bantuan baik pulih masjid dan surau RM278,700 dan baik pulih institusi pendidikan pula RM10,000," katanya. - Bernama