Bank Negara didesak beri jaminan tiada lagi kenaikan OPR

Rosni berkata, sehingga hari ini BNM hanya berikan penjelasan terlalu teknikal dan kurang difahami sehingga timbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan.
Rosni berkata, sehingga hari ini BNM hanya berikan penjelasan terlalu teknikal dan kurang difahami sehingga timbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Wanita UMNO menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) agar memberikan penjelasan yang lebih jelas kepada rakyat berhubung kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sehingga tiga peratus baru-baru ini.

Kata Ketua Penerangannya, Datuk Rosni Zahari, sehingga hari ini BNM hanya memberikan penjelasan yang terlalu teknikal dan kurang difahami sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap kerajaan.

"Kesan kenaikan OPR secara agresif, yang merupakan kali kelima sejak Mei 2022 ini telah menyebabkan kadar bayaran balik pinjaman meningkat secara drastik dan amat membebankan peminjam terutama golongan B40.

"Justeru, Wanita UMNO mendesak BNM agar memberi jaminan bahawa tiada lagi kenaikan OPR dalam masa terdekat dengan mengambil kira nasib rakyat yang sedang bergelut dengan situasi ekonomi yang sangat mencabar," jelasnya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Rosni, Wanita UMNO juga mencadangkan agar BNM mengambil jalan tengah dan mempunyai sedikit empati dengan mengarahkan semua bank memberi penggecualian kenaikan kepada golongan sasar atau terjejas.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu mengumumkan kadar dasar semalaman (OPR) meningkat 25 mata kepada 3 peratus.

Dalam satu kenyataan, bank pusat berkenaan menyatakan kenaikan ini akan menyebabkan kadar siling dan lantai OPR masing-masing kini meningkatkan kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.

Ini menjadikan kadar OPR ketika ini kembali kepada kadar seperti pra-pandemik Covid-19 iaitu pada 7 Mei 2019.

BNM turut memaklumkan kebanyakan bank pusat mengekalkan dasar kewangan yang ketat. - Awani